Ahad, 14 Oktober 2018 | 12:29pm

Bakat Saleem tiada tandingan

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Saleem disifatkan beberapa teman baiknya sebagai kehilangan yang tiada ganti, malah keunikan suaranya akan terus dirindui pencinta industri hiburan.

Zamani yang masih terkejut dengan berita kehilangan teman baiknya itu berkata, arwah memiliki bakat yang tiada tolok bandingnya dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali mereka bekerjasama.

“Ketika arwah masih sihat, kami sempat bergurau untuk bersama-sama menyertai program nyanyian, Gegar Vaganza. Namun, saya agak terkilan kerana tidak sempat bercakap dengan arwah buat kali terakhir.

“Ketika melawatnya selepas kemalangan tempoh hari, arwah sudah tidak boleh bercakap. Sebenarnya, banyak impian dan hasratnya yang masih belum kesampaian, namun Allah lebih menyayanginya.

"Pada mata saya, arwah mempunyai suara yang begitu istimewa dan tiada pengganti. Sepanjang mengenalinya, arwah mudah memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Pemergiannya itu kehilangan besar buat industri hiburan," katanya.


PENYANYI, Datuk Hattan (kanan) bersama penyanyi, Ameng Spring (kiri) dan anggota kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong sewaktu melawat jenazah arwah Saleem Iklim di Pusat Perubatan Unikebangsaan Malaysia. - Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed yang juga bekas vokalis kumpulan popular era 1990-an, Iklim menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, di sini, jam 6.30 pagi tadi.

Penyanyi berusia 57 itu sebelum ini terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu, mengakibatkan tulang rusuknya patah dan koma.

Sementara itu, Datuk Hattan pula memaklumkan, dia dan arwah pernah merakamkan sebuah lagu duet, namun tidak pernah diketengahkan kepada umum.

Hattan berkata, kali terakhir mereka bertemu pada akhir tahun lalu ketika menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah.

“Ketika itu, arwah sangat ceria. Sepanjang mengenalinya, arwah memang begitu. Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu, namun tidak kesampaian kerana ada urusan lain di kampung," kata Hattan.


UMARUL terkilan hasrat untuk menjayakan konsert amal membantu kos perubatan Saleem tidak kesampaian. - Foto NSTP/Azhar Ahmad

Gitaris Iklim, Umarul Mahdzar Embong pula berkata, mereka ada merancang untuk mengadakan persembahan bagi mengutip dana menampung kos perubatan arwah, namun tidak kesampaian.

“Iklim mempunyai banyak lagu popular dan kami ada mengundang beberapa penyanyi termasuk Hattan untuk menjayakan persembahan amal itu. Malangnya, hajat itu tidak menjadi kenyataan kerana arwah terlebih dahulu pergi meninggalkan semua,” katanya.

Sementara itu, laman sosial dibanjiri dengan luahan kesedihan penggiat seni yang turut merasai kehilangan penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Vokalis kumpulan Search, Amy menyifatkan lagu nyanyian arwah, Suci Dalam Debu terlalu indah, malah akan terus diingati peminat di seluruh Nusantara.

Penulis lirik yang juga personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya berkata, peluang bekerjasama dalam menghasilkan lagu, Ranting Angin untuk arwah akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Selebriti lain yang turut berkongsi kesedihan itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Mark Adam, Fauziah Latiff, Ifa Raziah, Faizal Tahir dan Ajak Shiro.

ZAMANI ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X