Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:06pm
PENYANYI, Lan Solo. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Pemilihan Kecik tindakan bijak - Lan Solo

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo, menyifatkan pemilihan bekas anggota Hyper Act, Mohammad Fauzi Kamarudin atau Kecik, sebagai vokalis baharu Kristal sebagai tindakan tepat dan bijak.

Lan atau nama penuhnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata penyanyi itu mempunyai suara yang mantap.

Justeru, Lan yang pernah bersama Kristal selama 18 tahun berharap peminat terus memberikan sokongan kepada kumpulan terbabit.

"Saya tidak berani untuk mengulas panjang kerana ia ibarat mengganggu ‘rumah tangga’ orang. Apa yang penting, saya berharap peminat akan terus memberi sokongan terhadap karya kami.

"Apapun, ia langkah baik untuk mereka yang kini memiliki sesuatu untuk terus maju ke depan dan memeriahkan industri hiburan," katanya.

Kelmarin, Kristal mengumumkan Kecik sebagai vokalis baharu kumpulan berkenaan kerana yakin dengan bakat dan kesungguhan penyanyi itu.


VOKALIS, Mohammad Fauzi Kamarudin atau Kecik (dua dari kiri), bersama anggota Kristal yang lain pada sidang media memperkenalkan penyanyi utama baharu kumpulan itu dan pelancaran single Cintaku Kristal di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Lan mengundurkan diri daripada Kristal pada November tahun lalu selepas timbul konflik dalaman membabitkan dirinya dengan anggota kumpulan itu.

Kecik pula mengumumkan pengundurannya daripada Hyper Act pada Disember 2016.

Sementara itu, Lan berkata, dia berharap kehadiran anggota baharu Kristal akan mencetuskan persaingan sihat dalam industri muzik tempatan.

"Sekarang, masing-masing sudah mempunyai haluan sendiri. Saya juga mempunyai karier seni sendiri dan semestinya akan fokus pada kerjaya solo,” katanya yang muncul dengan single pertama, Berpisah Tanpa Rela, April lalu.

629 dibaca
Berita Harian X