Selasa, 9 Oktober 2018 | 6:12pm
LUNA Maya kunci mulut isu penyebaran semula video intim dengan Ariel. - NSTP/Saddam Yusoff

'Jangan dipanjangkan lagi isu itu'

PETALING JAYA: Pelakon Indonesia, Luna Maya memilih untuk mengunci mulut berhubung isu penyebaran semula skandal video membabitkannya dengan bekas kekasih yang juga vokalis Noah, Ariel.

Katanya, lebih baik dia berdiam diri daripada memberikan sebarang komen berhubung isu itu kerana enggan ia dipanjangkan lagi.

“Saya tidak mahu komen. Tidak mahu andai nanti (isu) dipanjang-panjangkan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan filem seram lakonannya, Sabrina, di sini, hari ini.

Pelakon dan penyanyi itu diterbangkan ke Kuala Lumpur bersama dua lagi teman gandingannya, Sara Wijayanto dan Christian Sugiono sempena promosi filem yang bakal ditayangkan di negara ini bermula 18 Oktober ini.

Terdahulu, nama pelakon itu dan Ariel yang ketika itu masih bergelar vokalis Peterpan menjadi perhatian apabila rakaman video yang dikatakan mirip mereka sedang melakukan hubungan intim ‘bocor’ di laman maya pada 2010.

Lebih hangat apabila menyusul sebuah lagi klip serupa didakwa sebagai Ariel bersama seorang lagi pelakon dan pengacara popular, Cut Tari.

Kedua-dua video terbabit disiasat pihak berwajib hingga ketiga-tiga mereka dianggap sebagai suspek, namun hanya Ariel dibawa ke muka pengadilan dan menjalani hukuman penjara tiga setengah tahun.

Sementara itu, ditanya mengenai pengalaman beraksi dalam Sabrina, pelakon berusia 35 tahun itu mengakui, dia berdepan insiden menakutkan ketika melakonkan babak tertimbus dalam lubang.

Katanya, babak itu memerlukannya menahan nafas beberapa minit selepas dikambus pasir, membuatkan dia merasai pengalaman seolah-olah sedang dikebumikan.

“Saya pada awalnya menolak apabila diminta melakonkan babak ditarik ke dalam kubur dan ditimbus dengan pasir. Namun, selepas dipujuk, saya bersedia melakukannya.

“Bayangkan tubuh yang masih bernyawa ini ditimbus pasir. Walaupun ada pelakon ganti, pada minit terakhir tubuh saya perlu dikambus hingga telinga dan hidung dipenuhi pasir.

“Walaupun hanya beberapa minit, babak itu terpaksa dilakukan berulang kali membuatkan saya kepenatan. Ia seolah-olah saya sedang dikebumikan,” katanya.

222 dibaca
Berita Harian X