Sabtu, 6 Oktober 2018 | 4:24pm
FAUZIAH Latiff (tengah) menunggang motosikal berkuasa tinggi pada acara Perarakan Penunggang Motosikal Wanita Terbesar (PPMWT) di Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman
FAUZIAH Latiff (depan, tiga dari kanan) bergambar bersama orang ramai di Taman Hidupan Liar Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Fauziah Latiff sertai Perarakan Penunggang Motosikal Wanita Terbesar

LANGKAWI: Penyanyi Fauziah Latiff antara 150 penunggang wanita yang tampil bergaya menunggang motosikal berkuasa tinggi pada acara Perarakan Penunggang Motosikal Wanita Terbesar (PPMWT), di sini, hari ini.

Perarakan mulai 10 pagi mengelilingi Langkawi sejauh lebih 60 kilometer itu adalah sebahagian acara Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Diraja Langkawi (FMBTDL) 2018 selama tiga hari yang berakhir esok.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ itu mengenakan mafla, jaket dan seluar hitam serta baju T berwarna magenta tampil bergaya sambil menunggang motosikal jenis Harley Davidson.

Tinjauan mendapati, beliau bersama rombongan tiba di Taman Hidupan Liar Langkawi di sini, pada jam 1 tengah hari, selepas menghabiskan masa kira-kira dua jam menaiki perkhidmatan kereta kabel di Gunung Machinchang.

Ketika ditemui, Fauziah berkata, beliau teruja selepas dipilih penganjur sebagai ikon acara PPMWT yang memasuki edisi kedua dengan penyertaan kali ini melebihi 150 penunggang wanita tempatan dan antarabangsa.

“Memang gembira kerana program selama tiga hari ini disertai ramai penunggang wanita, khususnya dari Brunei, Sabah, Singapura, Kuala Lumpur dan tuan rumah, Langkawi.

“Saya yakin program ini mencapai objektif dalam menghimpunkan penunggang wanita dari serata tempat, sekali gus dapat mengeratkan silaturrahim, selain membantu menyemarakkan industri pelancongan,” katanya.

Selain penunggang wanita, acara anjuran AH Prima Innovative dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan turut mendapat sokongan gabungan tujuh kelab permotoran itu disertai hampir 1,000 penunggang lelaki.

Berita Harian X