Jumaat, 5 Oktober 2018 | 6:13pm
SYAMEL bersama Ramlah ketika sesi latihan sempena kemuncak ABPBH 31. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAMEL sempat bergurau bersama Ernie dan Misha Omar ketika sesi latihan. - Foto NSTP

Lupa soal bersaing kerana Siti, Ramlah

KUALA LUMPUR: Teruja diberi peluang bergandingan dengan dua penyanyi wanita hebat negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ramlah Ram membuatkan Syamel lupa dirinya turut bersaing pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Ahad ini.

Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, dia langsung tidak memikirkan mengenai pencalonan kerana peluang membuat persembahan bersama dua penyanyi yang dihormatinya itu bukan sering diperoleh.

“Aura ABPBH 31 ini berbeza kerana saya bakal berkongsi pentas dengan dua penyanyi yang boleh dianggap legenda dalam industri muzik tanah air. Saya sangat berbangga apabila disatukan dengan mereka, malah memang menanti saat ini.

“Lagu yang dibawakan juga disukai ramai dan saya berharap persembahan kami akan menghiburkan semua,” katanya.

Syamel bagaimanapun, menghargai usaha peminat yang tidak pernah jemu mengundi, meskipun sukar meramalkan peluang membolosi Top 5.


SYAMEL sempat bergurau bersama Ernie dan Misha Omar ketika sesi latihan. - Foto NSTP

"Sebelum ini, saya pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, namun tuah dan rezeki belum menyebelahi. Saya tidak kecewa kerana perjalanan saya masih jauh. Kalau ada rezeki, sudah pasti saya bersyukur.

“Lagipun, saingan tahun ini dikira lebih hebat. Mereka yang bertanding juga nama besar, malah sokongan peminat juga sangat padu dan luar biasa. Kalau ada rezeki, ia memang bonus,” katanya.

Lebih tiga tahun berada dalam industri muzik, Syamel yang turut aktif menghasilkan lagu berhasrat menyerahkan komposisi ciptaannya kepada penyanyi lain.

Sebagai permulaan, Syamel memilih untuk menyerahkan lagu ciptaannya kepada rakan duetnya dalam lagu Aku Cinta, Ernie Zakri.

“Memang terfikir untuk menyerahkan lagu ciptaan saya kepada penyanyi lain. Sebelum ini, saya kurang yakin kerana masih terlalu baharu. Saya juga tidak berani mengambil risiko kerana risau memikirkan penerimaan peminat.

“Sekarang, saya sudah bersedia. Saya pilih Ernie kerana yakin dengan kemampuannya mewarnai sesebuah lagu. Insya-Allah, selepas ini, jika ada penyanyi lain mahukan khidmat saya sebagai komposer, saya bersedia melunaskan hasrat mereka," katanya.

97 dibaca
Berita Harian X