Khamis, 4 Oktober 2018 | 5:43pm
AZZA mengakui tidak mudah memujuk Linda dan Sasha untuk menyertai program realiti. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Teguran mereka jadi peringatan supaya tak leka'

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Elite, Azza mengakui, tidak berkecil hati dengan cadangan segelintir peminat yang memintanya supaya menarik diri daripada menyertai sebuah program nyanyian kerana sudah berhijrah.

Azza atau nama lengkapnya, Nur Azzarima Zawari, 40, menyifatkan permintaan peminat itu sebagai ingatan supaya dia tidak leka apabila mengambil keputusan kembali menyanyi.

“Saya terima komen mereka dengan hati yang terbuka, malah tidak berkecil hati kerana saya ada alasan tersendiri mengapa menyanyi semula.

“Bukan mudah sebenarnya hendak memujuk rakan Elite untuk turut serta. Saya anggap peluang diberikan itu membuka ruang untuk saya meluaskan perniagaan.

“Terima kasih atas komen yang ditinggalkan kerana ia menjadi peringatan supaya tidak leka. Saya akur diri sudah berhijrah dan perlu menjaga batas apabila tampil di pentas,” katanya.

Azza berkata, dia terharu apabila rakan artis seperti Siti Nordiana dan Lan Solo banyak memberikan inspirasi untuk dirinya mengorak langkah lebih jauh dalam bidang perniagaan.

“Saya perlu mencari pasaran baharu, terutama kelompok muda. Dengan penyertaan dalam program ini, sedikit sebanyak ia membantu saya mendekati kelompok peminat berbeza,” katanya.

Azza sebelum ini berkongsi di akaun Instagram mengenai komen peminat yang memintanya supaya menarik diri daripada program nyanyian itu kerana sudah berhijrah.

Elite juga menerima kritikan apabila Elite tidak mampu menyanyi secara ‘live’, namun bagi Azza, ia bukan alasan untuk mereka menyerah awal.

“Andai kata kami tersingkir awal, sekurang-kurangnya kemunculan semula Elite menjadi sebutan. Tetapi, sama seperti peserta lain, kami juga berharap dapat bertahan,” katanya.

Selain Azza, Elite turut dianggotai Linda Rafar dan Sasha Saidin.

23 dibaca
Berita Harian X