Selasa, 2 Oktober 2018 | 11:44am
AMELINA jadikan GV5 sebagai ruang untuk membuktikan kemampuan sebagai penyanyi versatil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Tak mudah jadi Amelina yang baharu'

SHAH ALAM: Ratu Dangdut, Amelina nekad tidak mempedulikan cakap orang, malah melihat penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelima sebagai ruang membuktikan kemampuan menjadi penyanyi versatil.

Amelina, 44, berkata, dia akur apabila lebih dikenali sebagai penyanyi dangdut kerana genre itu pernah menaikkan namanya pada awal dekad 1990-an, sedangkan langkahnya bermula dengan lagu pop.

Mengakui pernah beberapa kali ditawarkan menyertai GV, penyanyi yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan itu berkata, ia hanya menjadi kenyataan pada musim kelima apabila dia benar-benar bersedia untuk kembali bersaing.

“Memang saya teringin menyertai program ini, tetapi saya perlu memberi keutamaan untuk mencari rezeki menyara keluarga. Apabila pendapatan semakin stabil, saya rasa ini masa terbaik untuk membuktikan kemampuan sebenar.

“Tidak dinafikan, ada pihak mempertikai penyertaan saya kerana saya pernah mendaki kemuncak dalam kerjaya. Tetapi, itu kisah lama dan rasanya generasi muda tidak begitu mengenali saya.

“Selepas hampir dua dekad tidak menyanyi, saya cabar diri untuk mulakan kembali langkah. Memang tidak mudah, tetapi saya perlu berani mengharunginya. Inilah Amelina yang baharu,” katanya.

Bersyukur meraih kedudukan tertinggi pada persaingan minggu pertama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Asyik dan Memori Daun Pisang itu berkata, permulaan itu memberinya semangat untuk terus mempamerkan persembahan terbaik.

“Ia hanya permulaan, banyak lagi cabaran yang saya perlu lalui untuk dikenali sebagai penyanyi versatil. Saya masih berdebar menanti peminat kerana selama mencipta nama, saya terlalu sinonim dengan lagu dangdut.

“Terdetik juga di hati, apakah mereka akan menerima perubahan yang bakal saya bawakan nanti? Persoalan itu sering bermain di fikiran. Namun, percubaan pertama ini membuatkan saya semakin yakin untuk kembali bersaing.

“Saya hanya mahu membuat persembahan, menyanyi dengan baik dan menghiburkan peminat yang masih mempercayai bakat. Itu lebih penting kerana saya tidak mahu diri terbeban semata-mata untuk mengejar kemenangan,” katanya.

Sementara itu, juri tetap program itu, Datuk Ramli MS ketika membuat kesimpulan mengenai persembahan peserta berkata, perasaan gugup menjadi faktor utama yang mengganggu persembahan kebanyakan mereka.

Katanya, antara peserta yang berdepan masalah itu mempunyai kredibiliti suara yang membanggakan seperti Zamani dan Dia Fadila.

"Mereka gagal mengawal perasaan gugup apabila melakukan persembahan sebenar. Ketika latihan,

Zamani dan Dia menyanyi dengan sangat baik serta penuh perasaan. Saya menitiskan air mata apabila mendengar rintihan suara Zamani ketika menyanyikan lagu Gerimis Mengundang.

“Sayangnya, magis yang diharapkan tidak berlaku pada malam konsert. Bagaimanapun, cabaran sebenar mereka bermula minggu depan apabila peserta tidak lagi menyanyikan lagu sendiri," katanya.

Berita Harian X