Khamis, 27 September 2018 | 5:44pm
PENYANYI, Saleem, yang terbabit dalam kemalangan di Bandar Mahkota Cheras, 20 September lalu, kini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Hospital Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
SALEEM bersama isteri, Julia dan anak mereka, Muhammad Amirul Mukminin ketika menjayakan sesi fotografi bersama BH pada Mei tahun lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Patutnya doakan Saleem sembuh, bukan sebar cerita palsu'

KUALA LUMPUR: Isteri penyanyi, Saleem, Juriah @ Julia Bachok, kecewa apabila hampir setiap hari berita mengenai kematian suaminya disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sepatutnya orang ramai mendoakan semoga Saleem segera sembuh, bukan sebaliknya.

“Kata-kata adalah doa, jadi tolong doakan yang baik-baik buatnya.

"Sudah hampir seminggu Saleem terbabit dalam kemalangan, sejak itu juga berita kematiannya tidak habis-habis diperkatakan ramai," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Ketika ini, kata Julia, Saleem, 56, berada dalam keadaan koma dan kritikal.

Suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), PPUKM, apabila dipindahkan dari Hospital Kajang sejak lima hari lalu.

"Saleem terpaksa ditidurkan kerana keadaan paru-parunya yang tercucuk tulang rusuk agak kritikal. Doktor mengambil keputusan membiarkan suami berada dalam keadaan koma kerana kecederaan pada paru-paru menyukarkannya bernafas dengan baik.

“Kini suami bernafas dengan bantuan mesin pernafasan. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil. Cuma kami tidak tahu berapa lama lagi suami akan ditidurkan," katanya.

Julia yang juga pengurus Saleem berkata, walaupun badan penyanyi itu tidak bergerak, suaminya mengelipkan mata buat seketika, semalam.

"Saya risau kerana sebelum ini, suami mampu membuka mata dan menggerakkan kaki serta tangan. Tetapi, sejak dua hari lalu, badannya tidak bergerak langsung, hanya mata yang berkelip.

"Suami bukan sahaja patah tulang rusuk dan mengalami pendarahan pada otak kiri, pergelangan tangan kanannya juga patah. Mungkin tangannya akan disimen sehari atau dua lagi.

"Kecederaan pada pergelangan tangannya dapat dikesan selepas ujian imbasan Pengimbas Imej Magnetik (MRI) dilakukan, kelmarin.

"Keputusan membabitkan paru-paru selepas melakukan imbasan MRI pula akan diketahui dalam masa terdekat. Begitupun, keputusan sama ada pembedahan akan dilakukan atau sebaliknya belum dibincangkan," katanya.

119 dibaca
Berita Harian X