Rabu, 26 September 2018 | 6:02pm

Siti rindu gurauan Pak Ngah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan lagu Cindai ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai antara karya yang meninggalkan impak tersendiri dalam perjalanan kerjaya nyanyiannya.

Siti, 39, berkata, arwah juga menjadi antara insan penting yang memupuk minatnya terhadap irama tradisional dengan lebih mendalam.

“Memang lagu Cindai antara karya agung yang dihasilkan arwah. Lagu itu disukai ramai, malah diterima baik pendengar di pelbagai negara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya yang ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada komposer itu.

Penyanyi lagu Anta Permana itu juga memaklumkan, arwah juga antara individu awal yang dikenalinya ketika memulakan langkah dalam bidang nyanyian.

“Selepas menang Bintang HMI, Siti menjayakan program terbitan Radio Teelvisyen Malaysia (RTM). Ketika proses rakaman suara dilakukan di studio, arwah bertanggungjawab menjaga vokal.

“Kali pertama bersua, saya sangka arwah garang. Takut juga, tetapi selepas mengenalinya lebih rapat, Pak Ngah sebenarnya suka berlawak dan mengusik. Kami banyak bekerja, malah sebahagian besar konsert yang Siti jayakan adalah di bawah seliaannya,” katanya.

Siti yang menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar kepada industri hiburan, khususnya penggemar irama Malaysia berkata, dia sering menasihatkan arwah supaya menjaga kesihatannya.

“Memang Siti tahu arwah menghidap penyakit jantung dan kencing manis. Selalu Siti ingatkan arwah supaya menjaga kesihatan. Tetapi, arwah dengan dialog akan berkata: ‘Kalau nak meninggal... meninggal juga’.

“Pemergiannya membuatkan Siti rindui keletah dan gelagatnya yang suka membuat lawak,” katanya.

Penyanyi tersohor itu juga berkata, dia terkilan hasrat untuk mendapatkan lagu terbaru ciptaan arwah tidak kesampaian.

“Semangat arwah untuk memperjuangkan irama Malaysia begitu tebal. Di Indonesia, Pak Ngah diangkat seperti raja. Itulah hebatnya penangan Pak Ngah yang mudah mesra dan menyesuaikan diri di mana-mana.

“Biarpun kini arwah sudah tiada, Siti tetap akan teruskan perjuangannya memartabatkan irama Malaysia dengan cara tersendiri. Itu yang selalu arwah pesan,” katanya.

SITI menenangkan balu Pak Ngah, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim ketika memberi penghormatan terakhir di Masjid Kampung Baru. - Foto Saifulizan Tamadi
Berita Harian X