Rabu, 26 September 2018 | 10:20am
MIRA Filzah (kiri) dan Remy Ishak. - Foto NSTP

Remy 'hero Malaya' terbaik - Mira Filzah

KUALA LUMPUR: Tiga kali berlakon bersama, Mira Filzah menganggap rakan gandingannya dalam drama, Lelaki Kiriman Tuhan, Remy Ishak, sebagai ‘hero Malaya’ terbaik.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 itu berkata, bukan sekadar memiliki bakat lakonan hebat, malah Remy tidak lokek berkongsi ilmu.

Sebelum drama terbitan Zeel Production yang bakal menemui penonton sebuah saluran berbayar mulai 1 Oktober depan, kedua-duanya pernah bergandingan dalam filem, Sangkar dan Rise: Ini Kalilah.

“Remy seorang yang sangat profesional dan senang memberikan kerjasama ketika di lokasi. Selain itu, dia banyak membantu saya, membuatkan kerja lakonan kami jadi mudah dan cepat.

“Bercerita soal lakonannya, memang dia antara ‘hero Malaya’ atau aktor terbaik di negara kita. Saya pula baru tiga tahun mengasah bakat dalam lakonan. Pengalaman pun belum banyak lagi.

“Namun, saya tetap jadikan segala ruang diberikan untuk menimba ilmu dan pengalaman. Dalam hal ini, teman pelakon dan pasukan produksi banyak membantu,” katanya yang menjalani penggambaran drama terbabit di utara tanah air.

Menurut Mira, dalam drama itu, dia melakonkan watak seorang pengusaha pusat peranginan yang terpaksa bersikap tegas bagi menjayakan bisnes keluarga.

Selain dirinya dan Remy, naskhah arahan Rashid Sibir itu turut dibintangi oleh Rozita Che Wan, Talha Harith, Kartina Aziz, Harris Anuar, Riana AF dan Uyaina Arshad.

Sementara itu, Mira berkata, dirinya tidak mahu meletakkan harapan menggunung untuk menggenggam trofi pada ABPBH 31 yang akan mencapai kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober depan.

Menurut Mira, sukar untuknya meramalkan sebarang peluang pada penganjuran kali ini kerana akur adat pertandingan, segala kemungkinan boleh berlaku.

“Kalau membabitkan undian peminat, apa saja boleh terjadi. Undian adalah terlalu subjektif dan kita tidak boleh membuat apa-apa ramalan tepat. Ia sememangnya bergantung pada undian dan usaha peminat buat artis yang bertanding.

“Jujurnya, saya tidak meletakkan harapan tinggi. Begitupun, saya menghargai usaha peminat dan pengikut di laman sosial yang ringan tangan membuat undian. Insya-Allah jika ada rezeki, ia tidak ke mana,” katanya yang antara lain membintangi drama, Meh Sandar Pada Aku dan Ops Cinta Din Sardin, pada tahun lalu.

Pada edisi terbaru anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, Mira dicalonkan dalam tiga kategori utama iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Versatil Popular.

Berita Harian X