Selasa, 25 September 2018 | 11:39am
FEE Haiqal mewarisi bakat seni ibunya, Noraniza Idris. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fee Haiqal pernah benci industri muzik

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Fee Haiqal mengakui, pernah membenci industri muzik, malah tidak terfikir menjadikan seni sebagai kerjaya kerana terkilan ibunya, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris sering dikecam peminat.

Fee atau nama penuhnya, Muhammad Alfeeq Haikal Mohammad Fauzi, 25, berkata, perasaan benci itu bagaimanapun, perlahan-lahan terhakis apabila bakat seni ibunya mengalir dalam jiwanya.

"Ketika zaman kegemilangan ibu, saya tidak sukakan industri muzik kerana sakit hati apabila dia sentiasa dikecam. Tetapi, perasaan itu berubah sedikit demi sedikit apabila saya mula meminati muzik.

“Memandangkan saya membesar bersama datuk dan nenek, saya kurang menerima pendedahan mengenai irama tradisional. Banyak yang belum saya tahu mengenai genre yang menjadi ‘makanan’ ibu itu," katanya.

Tampil dengan single lagu baharu, Matahari yang dilancarkan secara digital pada 24 Ogos lalu, Fee berkata, dia sengaja melawan arus apabila menghasilkan lagu berkonsepkan pop, R&B serta bossanova, meskipun tahu ia bukan aliran muzik semasa.

"Saya suka bereksperimen. Walaupun ramai menasihatkan supaya saya mengikut arus semasa, tetapi itu bukan cara saya. Tidak salah mencuba kerana kita tidak pernah tahu bagaimana penerimaan peminat.

"Andai kata rezeki belum berpihak pada saya, tidak mengapa kerana saya akan terus menghasilkan lagu sehingga diterima ramai," tuturnya.

Fee bagaimanapun, mengharapkan maklum balas positif pendengar dan sedia berdepan persaingan, terutama apabila melihat kemunculan bakat baharu yang menawarkan pelbagai genre lagu.

Dia positif, malah gembira dapat bersaing dengan mereka kerana ia secara tidak langsung membakar semangatnya untuk memberikan yang terbaik.

"Saya sudah bersedia segala kemungkinan. Sudah pasti, saya berharap lagu ini diterima dan secara tidak langsung, membantu menaikkan lagi nama saya.

"Bagi saya, persaingan sihat dapat mewarnai industri muzik tempatan kerana masing-masing mahu memberikan yang terbaik," katanya.

Fee juga merancang untuk menghasilkan single terbaru setiap tiga bulan bagi memastikan namanya sentiasa relevan dalam industri muzik.

19 dibaca
Berita Harian X