Sabtu, 22 September 2018 | 8:05pm
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Zaini Kamaruzzaman (belakang, lapan dari kanan) bersama Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil (tengah) dan Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir (belakang, sebelas dari kanan) bergambar bersama juara Flashmob dan FC Paling Havoc, Khai Bahar Empire, pada majlis #FANtastik santai bersama artis dan kelab peminat di Istana Budaya. - Foto: Rosela Ismail
PERSEMBAHAN Flashmob X Sorak Challenge daripada kelab peminat, Khai Bahar Empire, sempena acara #FANtastik ABPBH 31 di Istana Budaya. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

#FANtastik: Sitizone, KBE menang besar

KUALA LUMPUR: Latihan keras selama empat hari membuahkan hasil buat kelab peminat (FC) Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sitizone, apabila mereka diumumkan sebagai juara pertandingan zumba sempena acara santai #FANtastik di perkarangan Istana Budaya, di sini hari ini.

Acara yang menghimpunkan pelbagai kelab peminat terbabit diadakan sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, yang akan mencapai kemuncaknya pada 7 Oktober depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bukan hanya mengungguli acara zumba, Sitizone juga diumumkan sebagai pemenang FC Paling Infiniti, iaitu tema anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, kali ini.

Sememangnya, kelab peminat penyanyi nombor satu negara itu dilihat cukup bersemangat menjayakan acara berkenaan bersama persediaan penuh rapi, selain sanjungan tinggi terhadap bintang kesayangan mereka.

Menurut Pengurus Siti yang juga antara orang kuat di sebalik kelab peminatnya, Rozi Abdul Razak, penyanyi berkenaan memang bertuah memiliki penyokong setia yang dikenali sebagai Siti Zoner.

“Semangat Siti Zoner memang lain macam. Seperti dikatakan oleh Siti sendiri, sekalipun beliau sudah tidak lagi bertanding pada ABPBH, namun sokongan kelab peminatnya tidak pernah surut.


JUARA zumba dan FC Paling Inifiniti, Siti Zone. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

“Kami sendiri cukup seronok melihat mereka giat menjalani latihan tanpa mengira waktu. Latihan secara intensif diadakan selama empat hari di sebuah studio di Cheras, sejak pertengahan bulan ini.

“Siti bertuah mempunyai peminat seperti mereka. Ia sekali gus seiring dengan hala tuju ABPBH sendiri yang memartabatkan kuasa undian peminat,” kata Rozi.

Tempat kedua acara zumba dimenangi oleh kelab peminat Haiza iaitu Haiza Troopers, manakala Sky Lovers yang juga kelab peminat Syafiq Kyle di tempat ketiga.

Sementara itu, Khai Bahar Empire (KBE) diangkat sebagai pemenang acara ‘flashmob’ yang berlangsung pada sebelah petang.

KBE membenamkan impian tiga lagi kelab peminat, Sitizone, Zizan Razak True Fans dan The Nizer (gabungan kelab peminat Emma Maembong serta Wany Hasrita).

Bukan sekadar memenangi acara terbabit, KBE juga diumumkan sebagai FC Paling Havoc. The Nizer pula menerima anugerah FC Paling Sempoi.

Kedua-dua pertandingan berkenaan diadili oleh wartawan BH, Nurulhisham Abdul Latiff, Zul Husni Abdul Hamid dan Farihad Shalla Mahmud.

Pada hari sama, bertempat di Lambang Sari, majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 31 turut diadakan dengan berkongsi butiran mengenai pengacara, artis yang bakal membuat persembahan dan penyampai trofi pada malam kemuncak nanti.


PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyertai kelab peminat Siti Zone membuat persembahan pada pertandingan zumba sempena acara #FANtastik ABPBH 31 di Istana Budaya. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Selain persembahan oleh artis terkenal seperti Lan Solo, Sufian Suhaimi, Khai Bahar dan Aman Aziz, tetamu juga dihidangkan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka, Razman Razmi.

Berita Harian X