Jumaat, 21 September 2018 | 12:09pm
SHARNAAZ dan Nabila menimang anak sulung pada 30 Ogos lalu. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Neelofa buat Jebat jadi popular - Sharnaaz Ahmad

KUALA LUMPUR: Sama seperti kebanyakan selebriti yang membuka akaun Instagram untuk bayi mereka, pelakon Sharnaaz Ahmad juga tidak ketinggalan mengikut jejak serupa.

Sharnaaz yang menimang cahaya mata sulung, Jebat Jayden Ahmad pada 30 Ogos lalu berkata, dia dan isterinya,

Noor Nabila Mohd Noor selesa berkongsi perkembangan anak mereka di laman sosial itu.

“Sebenarnya idea untuk membuka akaun Instagram itu tercetus sejak awal Nabila hamil. Adik ipar saya, Neelofa bersama adik-beradiknya yang lain mengusulkan perkara itu dan kami tidak keberatan menerima cadangan mereka.

“Hanya ketika isteri sarat, baru akaun itu dibuka. Tetapi, kami terpaksa merahsiakan dahulu akaun itu kerana bimbang namanya diambil orang lain.

“Tidak sangka, selepas Jebat lahir, jumlah pengikutnya bertambah dengan pantas. Ibu saudaranya (merujuk kepada Neelofa) yang buat dia jadi terkenal,” katanya.

Sharnaaz berkata, dia juga bersyukur hubungannya dengan Neelofa yang sedikit masa dahulu agak dingin sudah semakin baik.

Dia yang juga calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 31 menyifatkan, apa yang berlaku dahulu sebagai kisah lama yang tidak perlu lagi diungkit.

“Semua itu kisah lama, ketika masing-masing tengah panas. Namun, kejadian itu juga sebenarnya yang merapatkan semula hubungan kami. Tidak semua orang memahami peribadi Neelofa dan mungkin mengambil sedikit masa untuk mendekatinya.

“Dia sangat menyokong, malah sentiasa ada jika orang yang rapat dengannya sedang dihimpit masalah. Neelofa begitu mementingkan ikatan kekeluargaan. Jika di rumah, dia akan selalu membeli makanan untuk dijamah bersama.

“Berbanding dahulu, saya lihat dia sekarang banyak berlembut. Bayangkan, sekarang dia tidak ambil tawaran kerja kerana mahu bersama-sama isteri menjaga Jebat,” kata Sharnaaz.

620 dibaca
Berita Harian X