Khamis, 20 September 2018 | 11:53am
SYAFIE dan Aishah sudah tiga tahun bercinta. - Foto Instagram Syafie Naswip

Syafie, Aishah tak berahsia lagi

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun merahsiakan hubungan mereka, Syafie Naswip, 26, enggan lagi berdolak-dalik apabila membuat pengakuan sedang menjalin cinta dengan pelakon, Aishah Azman.

Berkenalan di laman sosial, Instagram pada 2015, keserasian yang pantas terjalin membuatkan mereka bersedia untuk melalui alam percintaan.

Syafie atau nama lengkapnya, Mohd Shafie Naswip berkata, selepas sekian lama membiarkan persoalan mengenai percintaan mereka menjadi tanda tanya, sudah tiba masa untuk dia berterus terang kedudukan sebenar.

“Sejak beberapa minggu lalu, saya dan Aishah semakin terbuka memuat naik gambar bersama di laman sosial. Sebelum ini, bukan mahu berahsia, cuma kami belum bersedia kerana hubungan masih terlalu baru.

“Selepas tiga tahun, rasanya lebih baik kami berterus terang perkara sebenar. Memang kami sedang rapat, tetapi belum mempunyai perancangan untuk ke fasa seterusnya. Berilah kami ruang untuk lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Hubungan pelakon yang popular menerusi filem Mukhsin, Songlap dan Juvana dengan Aishah, 22, yang juga adik kepada Afiq Muiz itu mula diperkatakan apabila mereka sejak kebelakangan ini, sering memuat naik foto bersama di laman sosial.

Keserasian mereka turut dilihat apabila Syafie memuat naik gambar dia bercuti bersama keluarga Aishah, baru-baru ini. Peminat yang memberi pelbagai maklum balas di ruangan komen turut mendoakan kebahagiaan mereka.

Ditanya mengenai keistimewaan gadis yang mencipta nama menerusi drama, Nasi Minyak Kuah Cinta dan Mencintaimu Mr Photographer itu, Syafie berkata, Aishah tidak gemar berpura-pura serta sentiasa menjadi dirinya.

Katanya lagi, setiap kali bertemu, mereka kerap berkongsi perkembangan industri hiburan, selain bertukar pandangan mengenai lakonan.

"Kami kerap keluar menonton wayang bersama, malah sering bercakap mengenai pembikinan setiap filem yang ditonton. Memandangkan kami berdua adalah pelakon, kami sering berkongsi pengalaman dan meneroka ilmu lakonan," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Syafie bersyukur namanya membolosi senarai 20 calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Bersyukur namanya masih dalam senarai, Syafie menyifatkan, pencalonan itu sebagai pencapaian, malah enggan menaruh harapan tinggi untuk membolosi Top 5.

"Alhamdulillah, jika rezeki tertulis untuk saya berada dalam Top 5. Memiliki peminat yang menyokong kerjaya seni tanpa henti sudah membuatkan saya bersyukur. Sokongan mereka memberikan saya semangat untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Syafie berkata, ketika ini, dia sedang menjalani penggambaran drama, Mocha Kau Bahagia untuk siaran TV3, manakala filem terbaru lakonannya, Polis Evo 2 bakal menjengah pawagam, tidak lama lagi.


SYAFIE sudah tiga tahun menjalin cinta dengan Aishah Azman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

1165 dibaca
Berita Harian X