Rabu, 19 September 2018 | 1:27pm

Tulus minta petua Rossa pikat peminat Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Tulus, mengakui meminta petua daripada rakan seperjuangan, Datuk Rossa, sebelum menjayakan konsert sulungnya di Istana Budaya, malam tadi.

Katanya, nasihat daripada penyanyi berpengalaman berkenaan, yang cukup mesra di hati peminat tempatan, dirasakan mampu mendekatkan dirinya dengan penonton negara ini.

"Inilah pengalaman julung kali saya mengadakan konsert di sini. Perasaan teruja dan gemuruh datang silih berganti, tetapi syukur kerana persembahan mega yang dirancang selama berbulan-bulan ini akhirnya dapat direalisasikan.

"Saya memang ada meminta ‘tips’ daripada penyanyi lain yang biasa beraksi di Kuala Lumpur dan cukup dekat dengan peminat tempatan, terutama Rossa. Saya juga mahu tahu reaksi penonton di sini.

"Apa pun, bukan hanya Rossa, rata-rata rakan penyanyi memaklumkan penonton Malaysia sangat hangat dan terbuka. Terbukti kata-kata mereka benar,” katanya pada sidang media selepas tamat konsert.


PENYANYI Indonesia, Tulus, ketika menjayakan konsert di Istana Budaya.

Pada persembahan yang berlangsung selama sejam setengah itu, Tulus, 31, mendendangkan 15 lagu daripada tiga albumnya, termasuk single baharu berjudul Labirin.

Turut dipersembahkan ialah Baru, Sepatu, Sewindu, Teman Hidup, Gajah, Pamit, Ruang Sendiri, Langit Abu Abu, Kisah Sebentar, Tukar Jiwa dan Monokrom.

Penyanyi soul dan R&B yang menerima banyak pengiktirafan dalam tempoh sedekad berada dalam arena seni suara itu juga sempat melayangkan penghargaan buat khalayak.

“Saya sangat berbesar hati melihat sokongan anda semua. Terima kasih kepada peminat dan artis tempatan yang hadir seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah,” katanya yang berharap dapat kembali beraksi di ibu kota pada masa akan datang.

Antara artis lain yang turut hadir memberikan sokongan kepada penyanyi dari seberang itu termasuk Misha Omar, Adibah Noor, Nabila Huda dan Sherry Alhadad.

Sementara itu, penganjur persembahan, Shiraz Projects, memaklumkan tiket berharga RM125 hingga RM695 bagi kapasiti 1,400 penonton habis dijual menjelang hari konsert.

Berita Harian X