Isnin, 17 September 2018 | 9:58am
MARK simpan hasrat bawa ibu bercuti di negara ini. - Foto Rosdan Wahid

Mark Adam pujuk ibu datang KL

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mark Adam, 39, mengakui hasrat untuk membawa ibunya ke ibu kota masih belum kesampaian apabila insan kesayangannya itu sering menolak pelawaannya kerana takut menaiki pesawat.

Bakat kelahiran Cebu, Filipina itu berkata, dia sudah menyediakan semua kelengkapan perjalanan ibunya, termasuk pasport, namun wanita itu enggan mengikut kerana tidak betah tinggal di bandar.

“Saya selalu mempelawa ibu supaya mengikut saya ke sini, tetapi dia takut menaiki kapal terbang. Ibu orang kampung dan tidak biasa dengan kehidupan sibuk di bandar. Sudah berulang kali saya memujuknya, tetapi ibu tetap menolak.

“Jadi, saya dan isteri, Norazah Redzuan ambil keputusan pulang ke Filipina apabila mempunyai masa terluang. Sebelum ini, saya hanya pulang sekali setahun kerana terikat dengan jadual kerja bersama syarikat pengurusan.

“Tetapi, apabila bergerak sendiri, saya berhasrat untuk lebih kerap pulang melawat ibu jika tidak terikat dengan sebarang komitmen kerja,” kata Mark yang berhijrah ke negara ini pada usia 21 tahun kerana mahu mengubah nasib keluarganya.

Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah yang bakal muncul dengan single keenam, Amnesia, bulan depan juga berazam mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayu untuk lebih mendekati peminatnya.

Penyanyi yang gemar berjenaka itu berkata, biarpun sudah lebih 17 tahun menetap di negara ini, dia masih belum fasih bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

"Saya tidak nafikan, cara pertuturan saya membuatkan orang ketawa. Mungkin kerana itu, ramai yang terhibur dengan cara saya yang spontan. Memang sejak dulu, apabila berbual dengan keluarga atau rakan, saya suka membuat lawak.

“Setiap apa yang saya lakukan itu ikhlas dari hati dan bukan dibuat-buat. Alhamdulillah, bakat saya diterima hingga saya meraih pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-31 menerusi dua kategori, Artis Komedi Popular dan Artis Versatil Popular,” katanya.

Tidak menyangka namanya dicalonkan dalam dua kategori itu, Mark berkata, dia terharu apabila dapat bersaing dengan pelawak dan artis versatil yang diakui kemampuan mereka.

“Segala-galanya saya serahkan kepada Allah. Dipilih bersama pelawak popular sudah membuat saya bersyukur. Saya tidak sangka, lawak saya diterima dan menjadi perhatian.

“Bagaimanapun, saya masih lagi mendalami ilmu untuk menjadi pelawak yang baik. Saya tidak kisah dikenali sebagai pelawak kerana saya sukakan humor. Saya masih belajar bagaimana mahu melontarkan 'punchline' supaya lawak yang dibuat memberi lebih impak.

“Perkara itu paling penting buat pelawak, melontarkan ayat yang boleh membuatkan orang ketawa pada masa yang sesuai," katanya yang membuka Akademi Suara sejak tahun lalu.

Berita Harian X