Sabtu, 15 September 2018 | 6:30pm
Sharnaaz bersama putera sulungnya, Jebat Jayden Ahmad. - Foto Instagram Noor Nabila.

Jebat jadikan saya lelaki lebih bertanggungjawab - Sharnaaz

PETALING JAYA: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, mengaku sikapnya terhadap kanak-kanak berubah selepas menyambut kelahiran anak sulung, Jebat Jayden Ahmad, 30 Ogos lalu.

Menurut bintang Cinta Bukan Kristal itu, selama ini dirinya seorang yang tidak berapa gemarkan budak kecil.

“Namun, apabila melihat anak sendiri dilahirkan, sikap saya mula berubah dan saya mula menghargai golongan bapa. Saya kini bukan sekadar suami dan ayah, malah berusaha menjadi lelaki yang lebih bertanggungjawab.

“Pada awal kelahirannya, saya akui berasa seperti janggal. Perasaan sayang juga belum lagi menebal ketika itu. Apatah lagi, inilah kali pertama saya menjadi bapa. Lainlah kalau saya sudah berkali-kali melalui pengalaman itu.

“Hari seterusnya, perasaan sayang dan cinta terhadap si kecil mula berkembang serta dirasai. Saya juga sentiasa memikirkan soal anak. Pelbagai perkara bermain di fikiran jika saya keluar rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama lakonannya bersama Ayda Jebat dan Nina Iskandar, di sini.

Sharnaaz yang menyambut kehadiran bayi berkenaan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-33 berkata, ketika ini dia mula membiasakan diri berjaga malam bersama-sama isteri, Noor Nabila Mohd Noor.

“Dulu, bukan sekadar tak biasa, malah saya tidak gemar untuk mencuci budak kecil. Namun sekarang saya mula membiasakan diri dengan semua tugas itu.


Sharnaaz dan isteri menyambut kelahiran anak sulung mereka pada 30 Ogos lalu. - Foto Instagram Noor Nabila

“Bagaimanapun, isteri seperti susah nak percayakan saya untuk melakukannya. Kalau boleh dia sendiri mahu membersihkan bayi kami, dek gangguan obsesif kompulsif dialaminya itu.

“Dia terlalu risau kalau saya tidak betul-betul membersihkan anak kami. Begitu juga dengan sarung tangan, contohnya, yang mahu dipakaikan dengan rapi sekalipun sudah jam 2 atau 3 pagi.

“Saya cakap, pada awal pagi seperti itu, tiada siapa pun yang nak tengok anak kami. Namun, dia memang jenis yang mementingkan kesempurnaan,” kata Sharnaaz lagi.

Mengenai pemilihan nama anak mereka pula, calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu berkata, dia dan isteri sama-sama membuat keputusan dalam perkara terbabit.

Katanya, nama untuk si kecil sudah dipilih kira-kira sebulan sebelum kelahirannya, begitu juga dengan perancangan mewujudkan akaun Instagram buat putera mereka.

“Sebelum berkahwin lagi saya sudah menyimpan hasrat, jika isteri mendapat anak lelaki, nama itulah yang akan saya berikan dulu. Sebab itu saya pilih Jebat. Isteri pula tetap ingin meletakkan nama Jayden.

“Ada yang berkata, nama Jebat dipilih kerana ada kaitannya dengan filem lakonan saya yang sudah lama disimpan. Saya tidak menafikannya. Malah, saya sendiri pernah memegang watak Jebat dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

“Selain itu, saya adalah peminat sejarah lama, termasuk perwira zaman dahulu, iaitu Hang Jebat,” katanya.

Sharnaaz dan kakak kepada Neelofa itu berkahwin pada 31 Mac tahun lalu di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bercerita mengenai pencalonannya dalam ABPBH 31, pemenang kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 29 ini berkata, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan.

“Saya hanya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat semua calon bertanding. Acara ini memang saya tunggu setiap tahun kerana ia menghimpunkan semua anak seni daripada pelbagai bidang.

“Malah, paling membuatkan saya teruja jika ABPBH diadakan di Genting Highlands. Saya sanggup datang sehari lebih awal semata-mata untuk bertemu teman seperjuangan.

“Ia juga bukan soal kalah atau menang. Jujurnya, ABPBH tetap acara anugerah nombor satu di hati saya,” katanya yang mula dicalonkan pada anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu pada edisi penganjuran ke-24 menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

58 dibaca
Berita Harian X