Khamis, 13 September 2018 | 2:19pm
SHIHA berharap Terdetik Rindu akan mengukuhkan lagi langkahnya sebagai penyanyi. - Foto Aziah Azmee

Shiha Zikir teruja berduet dengan Aman Aziz

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir berharap, momentum yang dicetuskan lagu Jagakan Dia akan memberi tempias kepada single terbarunya, Terdetik Rindu, sekali gus memahat namanya pada landasan lebih kukuh.

Lagu duet bersama Aman Aziz itu dicipta Nurzaidi Abd Rahman dan turut dipilih sebagai runut bunyi filem arahan Osman Ali, Langsuir yang akan ditayangkan di pawagam bermula 20 September ini.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berharap, tuah akan menyebelahi dia dan Aman, seterusnya memberi lonjakan baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

“Kami menerima pelawaan LMA Talent House untuk merakamkan lagu duet itu Ramadan lalu. Ketika merakamkan lagu itu, kami tidak tahu ia dipilih menjadi runut bunyi Langsuir.

“Saya suka permulaan lagu itu yang begitu asyik didengar. Selepas mendapat tahu lagu itu dicipta komposer yang pernah menghasilkan lagu untuk filem seperti Ombak Rindu, saya bertambah teruja.

“Saya pernah bekerjasama dengan LMA ketika merakamkan lagu Jagakan Dia, jadi saya optimis dengan perancangan mereka,” katanya.

Shiha sebelum ini pernah berduet dengan kumpulan popular Indonesia, D’Masiv menerusi lagu Jangan Bilang Siapa.

Mengulas pencalonan awalnya dalam Anugerah Bintang Popular BH (A BPBH) ke-31, bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Mentor musim kelima itu terkejut apabila namanya turut tersenarai.

Shiha yang turut membina nama di Indonesia selepas menyertai pertandingan D’Academy Asia, beberapa tahun lalu bersyukur kerana peminatnya, Squad Rovers Shiha sentiasa di belakang menyokong perjalanan kerjayanya.

“Sebagai anak seni, saya berbesar hati dengan pencalonan yang diterima. Memang saya ingin mara ke peringkat Top 5 dan saya serahkan kepada peminat jika mereka berhak menentukan sama ada saya layak berada di situ atau sebaliknya.

“Saya bertuah mendapat sokongan peminat dari kedua-dua negara. Peminat di Indonesia sering berkomunikasi dengan saya menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan. Alhamdulillah, mereka juga membantu untuk mengundi.

“Semangat mereka kuat kerana biarpun sudah lama tidak ke sana, sokongan yang diberikan tidak pernah putus. Sokongan mereka juga membantu Jagakan Dia terus bertahan dalam pencalonan Muzik Muzik 33,” katanya.

55 dibaca
Berita Harian X