Khamis, 13 September 2018 | 9:32am
SARAH bakal bersaing dalam program realiti popular, Liga Dangdut di Indonesia. - Foto Mahzir Mat Isa

Sarah sahut cabaran Liga Dangdut

KUALA LUMPUR: Bakat yang dicungkil dari program realiti, Mentor Legend, Sarah Fazny menggalas cabaran besar untuk mengharumkan nama negara apabila terpilih menyertai rancangan, Liga Dangdut di Indonesia, bulan depan.

Sarah berkata, namanya tersenarai bersama empat penyanyi tempatan lain dalam pertandingan anjuran stesen televisyen, Indosiar itu.

"Alhamdulillah, nama saya tersenarai untuk mewakili negara pada edisi terbaru pertandingan itu. Hebahan lanjut mengenai penyertaan dalam program itu akan dimaklumkan selepas sidang media bersama produksi di sana nanti,” katanya.

Sarah berkata, dia memang berharap dapat menyertai pertandingan itu dalam usaha mencari peluang dan platform lebih besar untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.

"Saya mahu mengumpul sebanyak mungkin pengalaman sepanjang menyertai pertandingan itu dan akan berusaha memberikan cabaran kepada peserta lain termasuk dari Brunei Darussalam, Singapura dan negara tuan rumah.

"Saya berharap doa semua pihak akan melancarkan lagi perjalanan saya di sana kerana pertandingan ini menuntut komitmen yang tinggi," katanya.

Liga Dangdut yang sebelum ini dikenali sebagai D' Academy Asia adalah pertandingan nyanyian yang mempertaruhkan lagu dangdut dan irama Nusantara. Antara peserta negara yang pernah menyertainya termasuk Asmidar, Shiha Zikir, Baby Shima, Zizi Kirana dan Syura.

Berita Harian X