Rabu, 12 September 2018 | 2:51pm
ARIO terpaksa tinggalkan isteri selepas seminggu berumah tangga untuk menyempurnakan penggambaran One Two Jaga. - Foto Nik Hariff Hassan

Sanggup berjauhan dengan isteri demi Sugiman

KUALA LUMPUR: Pelakon popular Indonesia, Ario Bayu, 38, berkorban meninggalkan isteri selepas seminggu berumah tangga pada Julai tahun lalu apabila terpaksa menyempurnakan babak tambahan untuk filem, One Two Jaga.

Katanya, permintaan Bront Palarae supaya dapat ‘turun’ ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan babak tambahan selepas lebih setahun filem itu disiapkan tidak dapat ditolak.

“Tugas aktor itu tidak akan selesai hingga sesebuah produk itu disiapkan. Justeru, saya rela meninggalkan isteri tercinta, Valentine Payen kerana tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi terhadap One Two Jaga.

“Saya sudah dimaklumkan lebih awal mengenai babak tambahan itu. Kebetulan, ia perlu dilunaskan kira-kira seminggu selepas hari bahagia kami di Paris, Perancis.

“Bagi saya, pekerjaan ini sesuatu yang menggembirakan dan saya tidak terbeban memenuhi komitmen kerana bersama produksi One Two Jaga, saya tidak rasa seperti bekerja,” katanya kepada BH Online.

Selain Ario yang menyerlah menerusi filem biopik, Soekarno, naskhah arahan Nam Ron yang mula berada di pawagam sejak 6 September itu turut membariskan seorang lagi bintang Indonesia, Asmara Abigail.

Pelakon lain yang turut memberikan aksi terbaik mereka ialah Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Azman Hassan, Vanidah Imran dan Chew Kin Wah.

Ario atau nama sebenarnya, Ario Bayu Wicaksono mendirikan rumah tangga dengan wanita berdarah Perancis pada 8 Julai 2017.

Dia yang memegang watak Sugiman dalam filem One Two Jaga itu berkunjung ke Kuala Lumpur selama empat hari bagi mempromosikan filem itu.

Katanya lagi, dia berbesar hati dapat bertemu peminat filem di negara ini yang memberikan sokongan terhadap sebuah karya bagus.

“Filem ini sangat jujur kerana menonjolkan isu rasuah yang wujud di mana-mana dengan garapan penuh elemen dramatik,” katanya lagi.

Berita Harian X