Isnin, 10 September 2018 | 5:14pm
NAMRON. - Foto Sharul Hafiz Zam

'Kita buat benda baik, tak payah boikot'

KUALA LUMPUR: Pengarah One Two Jaga, Namron menegaskan subjek gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang diangkat dalam filem kontroversi itu bukan dibuat untuk mencalar imej mana-mana pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah Namron, filem itu juga bukan dihasilkan kerana ingin mengajar masyarakat membenci pihak penguat kuasa, sebaliknya ingin memberi pengajaran dalam memerangi rasuah.

“Karya ini bukan mahu mencalarkan nama atau suruh orang membenci polis. Kalau nak diikutkan gejala rasuah ada dalam semua bidang kerjaya. Tetapi filem ini memilih profesion polis dalam mengetengahkan isu ini.

“Malah, One Two Jaga mengupas betapa mencabarnya pasukan PDRM memerangi rasuah.

“Jadi, saya tak rasa ia mencalar atau memalukan PDRM. Kita menceritakan sesuatu yang baik... Tak perlu nak boikot," katanya kepada BH Online ini.

Sebelum ini, ada laporan menyebut filem One Two Jaga yang dibintangi Zahiril Adzim, Bront Palarae, Amerul Affendi, Iedil Putra dan artis Indonesia, Ario Bayu, diboikot atas dakwaan mencemar reputasi PDRM.

Filem yang menyelongkar isu salah laku dalam dunia kepolisan itu menemui penonton sejak Khamis lalu.

Mengulas perkara itu, Namron menganggap mana-mana pihak yang memboikot filem arahannya itu mungkin disebabkan mereka tidak jujur dengan kerjaya sendiri.

“Sebelum penggambaran dijalankan, PDRM daripada awal sudah menyokong filem ini, malah meluluskan skrip selepas ditapis.

“Saya percaya, kalau hati bersih, karya ini tidak akan menjadi isu. Tetapi jika mereka tidak jujur dengan kerjaya mereka, maka One Two Jaga akan dibenci,” katanya.

Ditanya mengenai tindakannya memuat naik status mahu menghasilkan filem lucah selepas melihat One Two Jaga kurang mendapat sambutan, Norman mengaku sengaja mahu menarik perhatian netizen.

Tambah Namron, status yang dimuat naik di media sosial itu sekadar gimik dalam mempromosikan One Two Jaga.

“Ketika tayangan hari pertama One Two Jaga, saya difahamkan ramai yang tidak tahu.

“Jadi saya fikir, filem ini memerlukan promosi yang lebih pantas. Perlu ada gimik yang sedikit sensual agar netizen beri perhatian.

“Syukur, banyak media memetik status saya di Twitter. Secara tidak langsung, One Two Jaga dihebahkan,” katanya.

47 dibaca
Berita Harian X