Jumaat, 7 September 2018 | 4:18pm
PENYANYI, Fauziah Latiff, pada majlis sidang media The Royal Langkawi International Bike Fest 2018 di Kuala Lumpur. - Foto: Aswadi Alias
FAUZIAH atau Jee akan membintangi sebuah telefilem selepas kira-kira sembilan tahun tidak mengasah bakat lakonan. - Foto: Saifullizan Tamadi

Jee bakal berlakon telefilem, rakam lagu baharu

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira sembilan tahun tidak mengasah bakat lakonan, Fauziah Latif mengumumkan bakal membintangi sebuah telefilem.

Kali akhir artis jelita berusia 47 tahun itu berlakon adalah sekitar 2009 menerusi drama Gelora Di Hati Sara, di sisi Datuk Rosyam Nor dan Watie Elite.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu berkata, dia menerima tawaran berkenaan kerana tertarik dengan naskhah dihulurkan.

“Bagaimanapun, saya belum boleh berkongsi secara lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses perbincangan. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya akan membintangi sebuah telefilem.

“Apabila semuanya sudah muktamad nanti, saya akan kongsi segala-galanya bersama peminat,” katanya kepada BH Online.

Fauziah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Jee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media The Royal Langkawi International Bike Fest 2018, di sini.

Dalam perkembangan lain, pemenang trofi Penghibur TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1992 dan 1993 ini berkata, dirinya akan mengeluarkan single terbaru, tahun ini.

Kali akhir dia muncul dengan lagu terkini adalah dua tahun lalu, bersama single berjudul Takdir Cinta.

Menyentuh mengenai acara perhimpunan motosikal terbabit, Fauziah yang mula aktif di bidang seni pada 1986 itu dilantik sebagai ikon ‘Ladies On Wheels’.

“Saya dan 100 lagi wanita akan bersama-sama menyertai himpunan motosikal ini ke Langkawi pada 5 hingga 7 Oktober depan. Ia sebuah penghargaan untuk golongan wanita apabila dapat sama-sama menyertai perhimpunan besar sebegini.

“Saya percaya, acara itu akan memberikan pengalaman menyeronokkan bagi penunggang wanita. Ia bukan konvoi biasa, sebaliknya banyak perkara boleh dipelajari pada acara selama tiga hari itu,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyertai penyanyi berkenaan dalam acara itu, masing-masing boleh melayari laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan carian The Royal Langkawi International Bike Fest 2018.

65 dibaca
Berita Harian X