Khamis, 6 September 2018 | 1:48pm
ZAIBO masih menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat.

'Saya dapat rasa itu simptom kanser'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zaibo yang menghidap kanser esofagus tahap empat atau kerosakan akibat asid dalam perut, banyak bermuhasabah diri dan semakin reda melawan penyakitnya.

Pemilik nama sebenar, Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, itu berkata, dia berkurung dalam bilik selama tiga hari selepas doktor mengesahkan simptom tersedak dan muntah yang dialaminya berpunca daripada barah, namun kini emosinya semakin stabil.

Katanya, jauh di sudut hati dia sudah menjangka kekerapan gejala dilalui setiap kali menjamah makanan bermula selepas Aidilfitri lalu mempunyai kaitan dengan kanser, namun tidak menyangka sudah merebak ke tahap empat.

“Ketika saya tersedak dan muntah terlampau kerap, saya sudah terfikir mengenai barah. Walaupun tidak sakit, saya dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Saya ke klinik bagi mendapatkan rawatan, seterusnya meminta dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan terperinci.

“Entah kenapa, saya sudah terfikir mengenai perkara itu. Pada 27 Ogos lalu kerisauan saya terjawab apabila doktor di Hospital Batu Pahat mengesahkan saya menghidap barah,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom, Spanar Jaya itu berkata, semangatnya hampir hilang apabila mendapat tahu mengenainya dan menangis tiga hari selepas dimaklumkan kanser itu sudah memasuki tahap empat.

“Saya lebih tertekan apabila diberitahu, sel barah sudah merebak ke perut, paru-paru dan tulang rusuk kiri. Namun, selepas bermuhasabah dan melihat wajah isteri dan anak, saya mendapat kekuatan untuk berjuang melawannya.

“Saya reda kerana percaya qada dan qadar Allah. Lagipun, di sekeliling saya ramai meniupkan semangat,” katanya yang sebelum ini hanya menghidap darah tinggi.

Pelakon Anna & the King itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor sejak Isnin lalu bagi menjalani siri ujian dan pemeriksaan. Dia dibenarkan pulang esok, sebelum dirujuk ke Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya pada 12 September ini.

“Saya akan berehat di rumah kawan di sini sebelum ke IKN melakukan proses PET-CT Scan. Sebarang keputusan rawatan, sama ada perlu menjalani proses kemoterapi atau pembedahan, hanya akan diketahui selepas itu.

“Saya juga perlu kembali semula ke HSB kerana hanya di situ mempunyai pakar dan kemudahan lengkap untuk merawat kanser itu. Pihak berkenaan yang akan tentukan jenis rawatan berdasarkan keputusan,” katanya yang memperlahankan kerjaya lakonan sejak dua tahun lalu.

Berita Harian X