Rabu, 5 September 2018 | 7:36pm
PELAKON, Sharnaaz Ahmad mengumumkan nama putera sulungnya, Jebat Jayden Ahmad di Instagram.

Jebat Jayden Ahmad nama pilihan

KUALA LUMPUR: Pasangan Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila memilih kombinasi nama klasik dan moden iaitu Jebat Jayden Ahmad untuk putera sulung kesayangan mereka yang berusia genap tujuh hari.

Memberi bayangan singkatan Baby J buat anak mereka, rata-rata netizen membuat andaian tepat apabila meneka Jebat iaitu nama watak Sharnaaz menerusi drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

“Hai Assalamualaikum... Dengan lafaz Bismillah dan penuh kesyukuran... Berkat rahmat Allah yang Maha Kuasa..

“Dengan ini, saya memperkenalkan anak kesayangan kami bernama Jebat Jayden Ahmad Sharnaaz Ahmad @jebatjayden,” kongsi Sharnaaz pada entri Instagram, beberapa jam lalu.

Sementara itu, Nabila yang juga kakak kepada pengacara popular Neelofa berkongsi klip video yang memaparkan detik indah proses kelahiran anak sulungnya itu menerusi Instastory.

“Sebuah video yang ditujukan khas pada kelahiran ‘raja kecilku’.

“Untuk video penuh, anda boleh klik pada link di bio profil adik saya @atishakhan ! Terima kasih adikku untuk video yang begitu berharga ini,” luah Nabila.

Rakan selebriti dan netizen turut meninggalkan komen teruja dengan keunikan nama anak sulung Sharnaaz dan Nabila.

Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan menimang cahaya mata pertama pada 30 Ogos lalu.

Berita Harian X