Isnin, 3 September 2018 | 9:28am
HEFNY masih sendiri selepas putus cinta lapan bulan lalu. - Foto Aziah Azmee

Hefny enggan jadi penghalang kebahagiaan Uqasha

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Hefny Sahad menegaskan, dia menjauhi bekas kekasihnya, Uqasha Senrose bukan disebabkan dendam, sebaliknya memberi ruang memulakan hidup baharu selepas putus cinta, lapan bulan lalu.

Hefny, 31, berkata dia tidak pernah membenci Uqasha, malah sudah melupakan segala kenangan manis yang pernah mereka lalui bersama.

Namun, pendirian untuk tidak lagi berhubungan dibuat kerana menghormati bekas kekasihnya yang dikatakan sudah menemui pengganti dan dia tidak mahu menjadi penghalang kebahagiaannya.

“Sejak berpisah, kami tidak pernah terserempak di mana-mana acara atau tempat. Saya juga mengelak daripada terus berhubungan dengannya kerana ia tidak lagi wajar dilakukan, terutama selepas mendapat tahu dia sudah mempunyai kekasih baharu.

“Saya tidak mahu dituduh menjadi punca jika berlaku sesuatu pada kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra dan pelancaran drama bersiri, Cintaku Di Bumi Izmir, baru-baru ini.

Hefny bagaimanapun menegaskan, dia tetap profesional terutama jika membabitkan soal kerja dan tidak kisah menerima tawaran yang mahu menggandingkan mereka bersama.

“Saya tiada masalah menerimanya. Namun, sepanjang berkawan, kami tidak pernah ditawarkan berlakon bersama. Saya cuma pernah berlakon dengan dua adiknya, Nelydia dan Raysha.

“Saya memang menanti peluang itu datang,” katanya yang masih menjaga hubungan baik dengan keluarga bekas teman istimewanya itu.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti On Air itu berkata, dia tidak tertekan apabila masih bersendirian. Bukan tidak pernah membuka hati menerima kehadiran gadis lain, namun Hefny enggan terburu-buru menamatkan zaman bujangnya.

“Saya cuma lebih berhati-hati, namun jika ditanya, saya tidak meletakkan sebarang syarat. Sama ada insan biasa atau artis, saya terbuka menerima jodoh yang tertulis,” katanya.

Mengenai pencalonannya dalam kategori Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31, walaupun teruja, Hefny enggan meletakkan harapan tinggi memandangkan saingan dalam kategori itu sangat sengit.

“Dilihat senarai nama yang dicalonkan, semuanya memang hebat dan lebih berpengalaman. Saya memang tidak mengharapkan apa-apa. Jika ditakdirkan dapat melepasi senarai Top 5, ia sudah menggembirakan saya.

“Tahun ini, saya mempunyai kelab peminat sendiri. Mereka banyak menyokong kerjaya seni saya, malah begitu bersemangat untuk memastikan nama saya membolosi Top 5. Namun, saya serahkan perkara itu kepada rezeki,” katanya.

189 dibaca
Berita Harian X