Ahad, 2 September 2018 | 11:56am
AYDA sentiasa cabar diri untuk menjadi pelakon yang baik. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ayda Jebat akur tak selamanya disanjung

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat tidak kisah dibenci, malah sanggup menelan pelbagai kata cemuhan peminat apabila melakonkan watak antagonis dalam drama terbarunya, Cinta Bukan Kristal.

Dalam drama yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu, Ayda membawakan watak Aryana, orang ketiga yang menghancurkan kebahagiaan rumah tangga Adrian Hilman lakonan Sharnaaz Ahmad dan Sofea Darlina (Nina Iskandar).

Mengulas perkara itu, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 25, berkata, sebagai pelakon, dia perlu berani mengambil risiko dan bersedia menerima apa sahaja reaksi penonton kerana ia menjadi kayu ukur keberkesanan lakonannya.

“Apabila membaca skrip drama ini, saya sudah menjangka, watak Aryana akan dibenci penonton. Itu juga menjadi alasan kukuh mengapa saya menerima tawaran ini.

"Sebagai pelakon, saya perlu mencabar diri menerima watak mengikut kemampuan. Saya selalu memberitahu diri, sampai bila mahu membawakan watak yang disukai penonton? Sesekali, saya perlu membuat penonton benci melihat lakonan saya,” katanya.

Tujuh tahun melayari hidup sebagai anak seni, Ayda berkata, dia tidak selamanya berharap untuk menerima pujian peminat, sebaliknya turut menanti kritikan sebagai ruang memperbaiki diri.

"Selalu saya berpesan kepada diri, jangan terlalu menagih pujian atau kata-kata manis. Saya perlu juga mengambil kira apabila dikritik atau ditegur jika mahu terus mara,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai lima pencalonan diterimanya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Ayda yang mula dikenali menerusi drama, Rindu Awak 200% bersyukur apabila namanya belum pernah tercicir sejak beberapa tahun lalu.

"Pencalonan ini membuktikan saya masih mempunyai ruang bernafas dalam industri kerana ABPBH adalah pengiktirafan yang berprestij. Namun, jika ditanya mengenai peluang mara, saya menyerahkan kepada Ayda Jebat Screamer (AJS) dan peminat untuk menentukannya.

"Saya terharu apabila ada peminat yang sanggup berhabis-habisan untuk memastikan nama saya membolosi Top 5. Saya beruntung mempunyai peminat seperti mereka,” katanya.

Pencalonan awal ABPBH 31 menyaksikan Ayda bersaing dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular. Sementara itu, kategori online, dia dicalonkan bersama Shaheizy Sam untuk Pasangan Serasi Filem dan Redza Rosli (Pasangan Serasi TV).

77 dibaca
Berita Harian X