Selasa, 28 Ogos 2018 | 8:10pm
HAIRUL cemas apabila nyaris menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem Paskal di Semporna, Sabah. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hairul nyaris jadi mangsa culik lanun

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hairul Azreen berdepan detik cemas apabila dia dan Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran penculikan lanun ketika penggambaran filem, Paskal, di Semporna, Sabah, pada pertengahan tahun ini.

Hairul berkata, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar yang masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak.

"Sepatutnya, saya dan Ammar sudah boleh menaiki bot pulang sebelum pulang ke Kota Kinabalu, tetapi diminta kami menunggu seketika.

"Kami langsung tidak memikirkan perkara yang mencurigakan, walaupun beberapa petugas yang mengiringi pasukan produksi dilihat seperti sedang menyelesaikan urusan penting.

“Bagaimanapun, ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat, kumpulan lanun itu mahu menjadikan kami sasaran penculikan.

"Sudah tentu, saya dan Ammar berdebar. Namun, alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Kami akhirnya dapat kembali ke daratan dengan selamat," katanya pada majlis pelancaran poster filem itu di sini, hari ini.

Filem aksi yang bakal ditayangkan bermula 27 September depan mengisahkan perjuangan Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ia menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna dan Maghribi.

Selain Hairul dan Ammar, produksi yang menelan bajet RM10 juta itu turut membariskan Datuk Seri Eizlan Yusof, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Hairul berkata, banyak dugaan dilaluinya untuk menyiapkan filem itu, termasuk patah jari sebelum penggambaran bermula, malah pernah dua kali menangis di lokasi kerana tidak dapat menahan sakit.

Dia yang sanggup membentuk badan dan menggelapkan kulit untuk filem berkenaan menyifatkan, pengalaman empat bulan merealisasikan Paskal sebagai pengorbanan yang berbaloi.

"Babak saya terpaksa merangkak sambil memegang senapang memang menyakitkan disebabkan jari masih cedera. Ketika pengarah menghentikan seketika penggambaran babak itu, saya beri alasan terlalu penat untuk bangun.

“Sebenarnya, saya sedang menangis kerana terlampau sakit. Kejadian patah jari itu berlaku empat hari sebelum penggambaran bermula.

“Sangkakan saya dapat menahan sakit, namun akhirnya tewas. Selepas beberapa hari, baru saya mengambil ubat yang dibekalkan doktor," katanya.

Berita Harian X