Isnin, 27 Ogos 2018 | 10:02am
FARA Hezel intai peluang jadi pengacara. - Foto Nurul Shafina Jamenon

Fara Hezel tak serik mencuba

KUALA LUMPUR: Kecundang pada babak awal program realiti, Big Stage tidak memadamkan semangat bakat baharu, Fara Hezel, 22, untuk terus meneroka bidang seni, termasuk pengacaraan.

Katanya, impian untuk mencipta nama sebagai pengacara televisyen sudah lama tersimpan, namun baru kini berani diluahkan kepada khalayak.

“Tidak dapat meneruskan perjuangan dalam program realiti itu bukan bermakna saya gagal. Saya sebaliknya, belajar untuk bangkit semula.

“Saya sudah mencuba sehabis baik, namun tertulis hanya setakat itu rezeki saya. Saya tidak kecewa kerana percaya ada pintu lain yang terbuka, asalkan berani mencuba.

“Saya tanamkan tekad meneroka satu lagi cabang seni iaitu pengacaraan yang dirasakan serasi dengan jiwa,” kata kakak kepada penyanyi remaja, Aiman Tino itu.

Tidak ambil hati dihujani kecaman netizen, Fara menganggap, perkara itu sebagai lumrah yang perlu dilalui mereka yang memilih dunia hiburan sebagai kerjaya.

Semakin lali, terutama selepas melihat adiknya yang pernah berdepan pelbagai kritikan sejak awal menjadi penyanyi, dia belajar menerimanya dari sudut positif.

“Kalau orang mengkritik bermakna mereka mengikuti perkembangan kita. Sama ada disedari atau tidak, mereka sebenarnya sentiasa mahu mengetahui apa yang kita buat,” katanya lagi.

Kini tampil bersama single ketiga, Ku Pasrah, pemilik nama sebenar Nurfaraazira Yusri itu turut berbesar hati apabila video muzik lagu menerima maklum balas memberangsangkan.

50 dibaca
Berita Harian X