Selasa, 21 Ogos 2018 | 2:21pm
DIANA tidak sanggup ubah imej hanya untuk kepuasan diri. -Foto Asyraf Hamzah

Anak marah Diana berambut pendek

PETALING JAYA: Pelakon, Datin Diana Danielle, 27, mengakui sukar untuk mengubah penampilan, terutama jika mahu memotong pendek rambutnya kerana bimbang tindakan itu dibantah anaknya.

Diana berkata, dia pernah dimarahi anak sulungnya, Muhammad, 5, gara-gara mengubah imej, membuatkan dia terlebih dulu memaklumkan kepada permata hatinya itu sebelum membuat keputusan berambut pendek dalam filem, Gol dan Gincu Vol 2.

“Saya bersedia memotong rambut, tetapi harus mempunyai sebab. Jika sengaja mahu potong pendek untuk mengubah imej, memang saya tidak berani. Che Mad (Muhammad) akan marah jika saya nampak lain.

“Disebabkan itu, saya beritahu dia awal-awal apabila terpaksa memotong rambut untuk filem ini. Dia perlu faham saya berambut pendek atas tuntutan kerja.

"Nur Aurora pula tiada masalah, malah tidak kisah dengan penampilan saya. Baginya, sama ada berambut panjang atau pendek, saya tetap ibunya. Cuma, untuk mengubah imej secara drastik demi kepuasan diri, saya tidak berani buat," katanya.

Dipilih membarisi bintang utama dalam produksi terbitan Red Films, Diana berkata, dia menggalas watak baharu, Zak.

Diana bagaimanapun, menepis tanggapan ramai dia menggantikan Nur Fazura yang melakonkan watak Putri dalam filem pertama yang dihasilkan 13 tahun lalu.

"Saya tidak boleh bercakap apa jika nanti karakter Zak akan dibandingkan dengan Putri yang dibawakan Fazura dulu. Ini kerana watak kami berbeza.

“Kehadiran saya dalam filem ini juga bukan untuk bersaing dengan sesiapa. Secara peribadi, saya terima tawaran ini kerana impak yang ditinggalkan filem pertama. Saya hanya menyambung usaha produksi terdahulu.

“Jalan cerita filem ini juga tidak sama dengan produksi pertama, biarpun masih memberi fokus kepada futsal dan fesyen. Saya bukan peminat futsal atau bola sepak, tetapi demi lakonan, saya bersedia menggalas apa sahaja cabaran yang datang," katanya.

Filem yang mengangkat kisah wanita itu masih mengekalkan pelakon asalnya, Sharifah Amani dan Sazzy Falak selain turut membariskan Ummi Nazeera, Syafiq Kyle, Aedy Ashraf dan Jad Hidhir.

215 dibaca
Berita Harian X