Selasa, 21 Ogos 2018 | 11:11am
AFIEQ (kiri) mengakui selesa berkawan dengan Wani Kayrie. - Foto NSTP

Afieq pujuk Wani Kayrie jangan mudah mengalah

SHAH ALAM: Penyanyi baharu, Afieq Shazwan mengakui, sering menitipkan kata semangat kepada teman seperjuangannya, Wani Kayrie supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-citanya.

Afieq, 21, berkata dia sering memujuk Wani, 18, supaya sentiasa percaya diri kerana tidak semua bakat muda mendapat ruang besar seperti mereka apabila terpilih menyertai program realiti, Big Stage.

“Kami selalu berbincang dan saling memberikan motivasi serta kata semangat antara satu sama lain. Mungkin kerana masih muda, Wani mudah hilang semangat.

“Sebagai teman rapat, saya akan memujuk Wani supaya dia kembali fokus dalam perjuangannya kerana semua bakat baharu mengimpikan untuk berada di tempat kami,” katanya.

Afieq yang popular dengan lagu Seandainya itu berkata, mereka sudah lama saling mengenali, malah dia pernah menjadi pengacara program nyanyian yang disertai Wani ketika gadis itu berusia 12 tahun.

“Saya selesa berkawan dengannya dan hubungan kami semakin rapat selepas menyertai Big Stage. Apapun, hubungan kami masih terbatas sebagai kawan dan belum terfikir untuk serius,” katanya.

Mengenai penyertaannya dalam program realiti itu, Afieq berkata, dia gembira apabila masih mendapat kepercayaan juri profesional, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Faizal Tahir serta peminat untuk terus mempamerkan kemampuannya.

“Setiap minggu pertandingan, saya sentiasa mencabar diri untuk tampil berbeza supaya kehadiran disedari peminat. Program ini menjadi platform untuk peminat lebih mengenali kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi,” katanya.

Berita Harian X