Ahad, 19 Ogos 2018 | 3:01pm

'Saya tak kata pun nak kahwin'


PENYANYI, Daiyan Trisha.

KUALA LUMPUR: Ingat nak kahwin, rupa-rupanya gimik.

Spekulasi kononnya penyanyi Daiyan Trisha, 25, bakal menamatkan zaman bujang hari ini, sebenarnya gimik pelancaran single terbaru yang berjudul Langit.

Tampil menjelaskan salah faham yang timbul, Daiyan memberitahu semuanya berpunca daripada konsep majlis perkahwinan yang dipilih bagi video muzik lirik dendangan itu yang akan dimuat naik di YouTube, malam ini.

“Saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan akan berkahwin pada hari ini... Cuma mungkin salah faham apabila ada pihak percaya temu bual saya bersama sebuah stesen radio.

“Apatah lagi apabila ada yang memberi ucapan tahniah kerana menyangka saya akan mendirikan rumah tangga,” katanya kepada BH Online.

Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 25, memohon maaf kerana tidak dapat memberi penjelasan lebih awal.

“Ini kerana saya hanya mahu memberi penjelasan pada hari ini di mana serentak dengan pelancaran lagu Langit di laman sosial.

“Tidak dinafikan, saudara-mara yang jauh ramai menelefon bertanyakan hal ‘perkahwinan’ ini,” katanya.

Daiyan berkata, konsep perkahwinan dipilih bagi melatari muzik video lirik lagu itu kerana mahu Langit dimainkan pada majlis perkahwinan.

“Tidak sangka pula timbul kekeliruan begini hingga ada yang menyangka saya akan menamatkan zaman bujang,” katanya.

Daiyan yang terbabit dalam penghasilan lagu Langit bersama Ikhwan Fatanna dan Omar K menjelaskan, dia tidak mahu pertaruhan terbarunya itu dikategorikan sebagai lagu cinta semata-mata.

“Saya mahu Langit menjadi lagu kahwin yang sentiasa diputarkan di mana-mana,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan untuk hidup berdua, Daiyan berkata, dia belum bersedia mendirikan rumah tangga atau mencari jodoh.

“Buat masa ini, saya tidak ada perancangan untuk berkahwin sebaliknya memberikan fokus kepada kerjaya seni.

“Saya juga sedang mengumpulkan material bagi menghasilkan album Inggeris,” katanya.

Berita Harian X