Rabu, 15 Ogos 2018 | 10:10am
PELAKON, Nora Danish. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berapa ramai kanak-kanak perlu terseksa?

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, berharap undang-undang berkaitan operasi pusat asuhan dan pengambilan pengasuh dapat diperketatkan bagi mengawal kes penderaan terhadap golongan kanak-kanak.

Sebagai wanita dan ibu, Nora mengaku dirinya cukup tersentuh apabila membaca serta mendengar kisah kanak-kanak didera, termasuk oleh pembantu rumah, pengasuh, guru dan pekerja pusat jagaan.

Baginya, kes sedemikian cukup membimbangkan dan perlu diberikan perhatian sebaiknya oleh pihak berkaitan.

Terbaru, video dua guru wanita tadika mengasari kanak-kanak di bawah jagaan mereka yang tular di laman sosial turut menarik perhatian pelakon ini.

“Terlalu banyak kes penderaan budak dan bayi di Taska atau tempat asuhan, kebelakangan ini. Tolonglah ketatkan undang-undang untuk membuka Taska atau pengambilan pengasuh.

“Menjaga budak atau bayi bukan kerja senang kerana ia memerlukan mental yang kuat. Jadi, semua pengasuh atau pekerja berkaitan perlu diuji dulu tahap kewarasan mereka, mengikuti kursus dan sebagainya,” tulis Nora di IG Story laman sosialnya.

Aktres terbabit juga menegaskan, isu itu tidak boleh diambil mudah dan berapa ramai lagi kanak-kanak perlu menderita atau kehilangan nyawa atas sikap tidak prihatin kita.

Akui Nora, 36, dirinya sendiri tidak sanggup untuk melihat kes sebegitu terus berleluasa.

“Tak sampai hati nak tengok. Kadang-kadang, saya menangis mengenangkan nasib dan kesakitan budak itu. Geram... marah semua ada,” tulisnya.

Ketika ini, ibu kepada dua cahaya mata itu sedang menjalani penggambaran drama, Bahagia Bukan Bidaan, bagi slot Samarinda, TV3. Turut sama membintangi drama terbabit ialah Wan Sharmila, Fauzi Nawawi, Lisdawati dan Arja Lee.

Berita Harian X