Khamis, 9 Ogos 2018 | 3:51pm
BARISAN pelakon yang memantapkan drama Jangan Benci Cintaku. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Jangan Benci Cintaku raih 12 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Episod cinta tiga segi antara Shah, Fika dan Husna yang melatari drama 28 episod, Jangan Benci Cintaku mengakhiri siarannya, kelmarin dengan cemerlang apabila mengumpul 12 juta penonton.

Menghiasi slot Akasia di TV3, drama lakonan Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Niena Baharun itu turut meraih lima juta tontonan di YouTube dan portal video, Tonton , sekali gus membuktikan produksi terbitan Suhan Movies itu memiliki tarikan tersendiri.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, lakonan mantap ketiga-tiga pelakon utama itu turut meninggalkan kesan sehingga mempengaruhi emosi penonton yang memberikan pelbagai maklum balas di media sosial.

“Sering jalan cerita drama yang disiarkan menerusi slot Akasia dilabel sebagai klise. Namun, kejayaan Jangan Benci Cintaku yang berakhir tayangannya Selasa lalu ternyata membanggakan kami.

"Drama ini mengasak emosi penonton hingga ia menjadi tular dan trending di media sosial ketika bersiaran gara-gara keberkesanan lakonan tiga pelakon utamanya itu," katanya.


SAHARUL dan Zahirah cetus fenomena menerusi drama Jangan Benci Cintaku. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tambah Nurlisia, watak Husna yang dilakonkan Niena paling banyak menerima kritikan, malah pelakon itu turut dicaci dan diugut netizen yang terlalu obses dengan perjalanan drama itu.

Sementara itu, pencapaian cemerlang turut diraih drama Andainya Takdir 2 terbitan A Aida Production Sdn Bhd yang mencatat jumlah tontonan terkumpul 12 juta penonton sejak bersiaran mulai 12 Jun lalu.

Drama lakonan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar itu juga mendapat lebih sejuta tontonan di YouTube dan Tonton.

Berusaha menyajikan pelbagai pengisian menarik, TV3 menampilkan tiga lagi drama untuk kepuasan tontonan umum.

Menerusi slot Iris, penonton disajikan dengan drama, Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang bermula 7 Ogos lalu.D rama itu menampilkan pelakon antaranya Hafidz Roshdi, Risteena Munim,Noorkhiriah dan Jalil Hamid.

Menggantikan Jangan Benci Cintaku, drama Cinta Bukan Kristal lakonan Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat dan Nina Iskandar memulakan siarannya, semalam di slot Akasia, jam 7 malam.

Slot Lestary pula menghidangkan drama Cinta Lemon Madu lakonan Aidil Aziz, Ruhainies , Riena Diana dan Eyra Hazali yang disiarkan setiap Rabu serta Khamis, jam 9 malam.

283 dibaca
Berita Harian X