Isnin, 6 Ogos 2018 | 5:35pm
M DAUD menghembuskan nafas terakhir jam 2.27 petang tadi. - Foto Shiraz Yasmine Ali

Presiden Papita meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk M Daud Wahid menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun akibat kanser prostat di Hospital Shah Alam, jam 2.27 petang tadi.

Menantunya, Saiful Sazli Zulkifli, 38, berkata keadaan kesihatan bapa mentuanya semakin merosot sejak kebelakangan ini dan doktor mengesahkan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain termasuk jantung hingga mengakibatkan komplikasi.

"Arwah disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak tahun lalu, namun semangatnya masih kuat untuk melawan penyakitnya. Arwah juga terpaksa keluar masuk hospital menjalani rawatan selain mendapatkan pemeriksaan berkala.

"Jumaat lalu, arwah mengadu sakit pada perut dan kami terus membawanya ke hospital berhampiran kediaman di Sungai Kandis.

"Kami dimaklumkan sel barah sudah merebak ke jantungnya. Kira-kira jam 6 pagi tadi, tahap kesihatannya terus merosot dan arwah juga tidak sedarkan diri," katanya.

Allahyarham yang aktif dalam dunia nyanyian sejak usia 20 tahun memulakan kerjaya sebagai penyanyi dengan menyertai sebuah kugiran pada 1964.

Enam tahun selepas itu, arwah melangkah ke dunia rakaman dengan menerbitkan album memuatkan lagu ciptaannya yang dikhususkan kepada pendengar kanak-kanak.

Selain menyanyi, arwah turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit, selain menjadi antara pengasas PAPITA.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Surau Seksyen 9, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kandis, selepas Maghrib.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Normala Mohd Shariff, enam anak dan 10 cucu.

68 dibaca
Berita Harian X