Sabtu, 4 Ogos 2018 | 7:34pm
BAKAT baharu, Sarah Suhairi. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

Sarah Suhairi malu disamakan dengan Dayang

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Sarah Suhairi, 18, mengaku berasa malu apabila segelintir netizen menyamakan suaranya dengan penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah.

Kata Sarah, dirinya tidak layak untuk disamakan dengan penyanyi hebat berkenaan yang juga pemenang tiga kali kategori Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu.

"Saya memang takut apabila orang samakan saya dengan Dayang. Ia terlalu berat untuk saya terima. Perbezaan antara kami bagai langit dengan bumi.

"Tetapi, saya tetap melihat perbandingan itu dari sudut positif. Siapa tahu andai satu hari nanti saya juga mampu berjaya seperti Dayang? Lagipun, saya sendiri seorang daripada jutaan peminatnya," katanya kepada BH Online.

Sarah mula mengembangkan bakatnya menerusi laman sosial termasuk YouTube. Sehingga kini, remaja berbakat ini sudah pun memiliki 123,000 pengikut di Instagram.

Kata Sarah, hakikat dirinya mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial turut memudahkan usaha memperkenal single sulungnya, Pedih.

"Alhamdulillah, Pedih sudah pun berada dalam carta lagu popular di beberapa stesen radio tempatan.

"Walaupun masih baharu, lagu itu mendapat maklum balas yang sangat baik. Sudah tentu saya terharu dengan sokongan diterima, maklum saja ramai bakat baharu yang memiliki potensi besar dalam muzik sama-sama mencari peluang untuk dikenali ketika ini.

"Cuma, saya tak sangka mampu meraih perhatian sepantas ini. Ia mungkin disebabkan saya sudah pun memiliki pengikut sendiri di laman YouTube dan laman sosial lain. Ia sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya," ujar artis yang bernaung di bawah MVM Production ini.

Bagaimanapun, kata Sarah, dia lebih selesa andai populariti tidak diraihnya secara mendadak kerana risau jika namanya akan tenggelam dalam sekelip mata juga.

Berita Harian X