Jumaat, 27 Julai 2018 | 9:50pm
ANUAR Zain bakal beraksi dalam konsert di Singapura, Oktober depan. - Foto Zunuur Al Shafiq

Konsert imbau nostalgia Anuar Zain di Singapura

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Anuar Zain menyifatkan, undangan menjayakan konsert terbaru di Singapura pada 26 Oktober depan sebagai mengimbau kenangan ketika beraksi di sana, tiga tahun lalu.

Kembali beraksi di The Star Theatre @ The Star Performing Arts Centre, Anuar berharap, Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live In Singapore 2018 bakal mengulangi kejayaan yang pernah dilakar di pentas sama pada 2015.

"The Star Theatre menyimpan nostalgia sendiri buat saya sebagai penyanyi. Apabila kembali diberi peluang, ia mengimbau semula kenangan ketika kali pertama menghiburkan peminat di pentas yang sama.

"Kepercayaan yang diberikan ini membuatkan saya teruja, malah semakin bersemangat untuk terus mempamerkan persembahan terbaik kepada peminat di Singapura," katanya.

Penyanyi Keabadian Cinta itu berkata, dia akan beraksi selama 90 minit pada konsert yang dianjurkan Hype Records itu, membawakan sekitar 15 lagu popularnya.

"Sebagai hadiah istimewa untuk peminat di sana, saya akan berkongsi kesinambungan video muzik lagu, Cinta Takkan Berakhir.

"Saya berharap malam itu akan mencatat kenangan terindah bersama peminat selepas lama tidak beraksi dalam persembahan berskala besar di negara itu," katanya.

Konsert itu juga sekali lagi menjadi bukti karisma penyanyi yang dikenali dengan lagu balada penuh emosi dan penghayatan untuk mempamerkan kematangannya selama lebih tiga dekad dalam industri hiburan. Tiket akan dijual bermula 3 Ogos ini dan boleh dibeli di www.sistic.com.

27 dibaca
Berita Harian X