Rabu, 25 Julai 2018 | 4:44pm
IRFAN Haris berehat tiga bulan untuk memberi tumpuan kepada SPM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Irfan Haris tahan keinginan demi pelajaran

KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja, Irfan Harris mengambil keputusan berehat daripada aktiviti seni selama tiga bulan bagi memberi tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki.

Irfan,17, berkata, dia juga tidak ralat menunda perancangan menghasilkan single terbaru kerana mahu menyelesaikan dulu tanggungjawabnya sebagai pelajar.

"Saya terpaksa menolak tawaran nyanyian buat sementara waktu. Tidak dinafikan, keinginan untuk menyanyi sentiasa membara, namun saya terpaksa menahan diri.

"Sering saya memujuk diri, tiga bulan itu sebenarnya tidak lama. Bukan mudah kerana nyanyian sudah menjadi minat, tetapi saya juga perlu memenuhi permintaan keluarga supaya mengutamakan pelajaran," katanya.

Irfan berkata, selepas menghasilkan tiga single, dia masih memikirkan formula terbaru kerana tidak mahu tampil dengan genre muzik yang sama.

"Saya tidak mahu peminat bosan apabila sering tampil dengan lagu balada. Saya akui, masih dalam dilema menentukan genre untuk single terbaru.

"Namun, saya tidak gusar kerana masih banyak masa. Mungkin juga saya akan tampil dengan lagu rancak atau berduet dengan kakak, Amirah Othman.

"Perbincangan lanjut mengenai perancangan itu hanya akan dibuat bersama pihak pengurusan pada November nanti, selepas saya selesai menduduki SPM," kata Irfan.

Selepas dikenali menerusi dua lagu, Redha dan Pesan, Irfan kembali dengan single ketiga, Hilang yang dilancarkan serentak dengan video muzik di YouTube pada Februari lalu.

Berita Harian X