Jumaat, 20 Julai 2018 | 2:52pm
ELVINA bakal menimang cahaya mata sulung akhir tahun ini. Foto: Mahzir Mat Isa

Elvina mula kenal siapa kawan sebenar

SHAH ALAM: Pelakon, Datin Elvina Mohamad mengakui, insiden suaminya, Datuk Haniff Borhan ditahan polis pada Mei lalu membuka matanya terhadap erti persahabatan yang sebenar.

Dugaan itu kata pelakon yang popular menerusi drama, Isteri Untuk Diiktiraf mengajarnya supaya berhati-hati dalam memilih kawan kerana tidak semua mereka sanggup bersama ketika berdepan ujian berat.

"Selepas apa yang berlaku, saya dan suami lebih kenal siapa kawan yang sebenar. Ada ketika, apabila kita alpa, orang lain dengan mudah akan mengambil kesempatan. Semua itu memberi pengajaran berguna buat kami berdua.

"Bayangkan ketika saya melalui saat getir itu, ada rakan yang busuk hati sanggup menghasut saya meninggalkan suami. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan supaya tidak mengambil peduli semua itu.

"Hanya kami yang tahu perkara sebenar. Syukur, semuanya sudah selesai dan kami kembali tenang mengatur hidup," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berstatus Datuk ditahan bagi membantu siasatan penipuan pelaburan forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom membabitkan kerugian RM13.9juta.

Elvina yang baru selesai menjalani penggambaran drama Sejuta Rasa Buat Adelia berkata, disebabkan terlalu terkejut menerima berita itu, dia mengalami pendarahan kerana masih di peringkat awal kehamilan.

"Saya tertekan mendengar pelbagai cerita tidak tepat. Ketika itu pula, saya baru hamil dan sibuk di lokasi penggambaran. Mujur tiada perkara buruk berlaku. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya," katanya.

Bercerita lanjut, pemilik nama sebenar, Norzalina Mohamad, 23, itu berkata, kandungannya kini berusia 14 minggu dan dijangka bakal menerima kehadiran orang baharu pada akhir tahun ini.

Elvina dan Haniff, 32, diijabkabulkan pada 18 Mac lalu dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, di sini.

Berita Harian X