Selasa, 17 Julai 2018 | 9:50pm
SARAH cuba nasib tembusi pasaran Indonesia menerusi Liga Dangdut. - Foto Mahzir Mat Isa

Sarah tunggu lampu hijau Liga Dangdut

KUALA LUMPUR: Dikatakan bakal menggalas cabaran dalam pertandingan, Liga Dangdut di Indonesia, bakat kelahiran program realiti, Mentor Legend, Sarah Fazny, sebaliknya menyerahkan urusan itu kepada rezeki.

Mengakui dalam proses menyertai uji bakat program yang bakal bersiaran menerusi saluran Indosiar bermula Oktober depan, Sarah berkata, dia mengharapkan rezeki akan menjadi miliknya.

"Terlalu awal untuk saya mengulas mengenai perkara itu kerana belum ada sebarang pengesahan daripada produksi di sana.

"Doakan yang terbaik supaya ada rezeki saya beraksi dalam pertandingan itu. Apa juga keputusannya nanti, sudah pasti saya akan maklumkan kepada semua," katanya.

Terdahulu, sumber memaklumkan, anak didik penyanyi rock legenda, Amy Search itu dikatakan bakal membawa cabaran negara pada pertandingan yang mengetengahkan genre dangdut dan tradisional itu.

Menurut sumber itu, nama penyanyi yang dikenali menerusi lagu Urusan Hati itu sudah berada dalam senarai utama bersama beberapa artis tempatan lain.

Sebelum ini, Sarah pernah mencuba nasib menyertai program D'Academy Asia musim lalu, namun tuah tidak menyebelahinya kerana masalah teknikal.

Penyanyi yang bernaung di bawah pengurusan Indigital Music itu berkata, dia juga sedang mempelajari lenggok nyanyian lagu dangdut dan tradisional sebagai persediaan sekiranya terpilih menyertai program itu.

Liga Dangdut yang dijenamakan semula daripada program popular, D' Academy Asia bakal menampilkan pengacara tempatan, Uyaina Arshad sebagai hos.

Berita Harian X