Isnin, 9 Julai 2018 | 12:20pm
SHIDEE tidak pernah bersara sebagai penyanyi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

'Bukan sebab sombong atau merajuk'

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Shidee menafikan dirinya sombong atau antisosial apabila jarang menghadiri majlis hiburan, sebaliknya dia menyepi kerana tiada undangan.

Pemilik nama lengkap, Rashid Abdul Wahab, 58, itu berkata, dia juga tidak pernah merajuk seperti yang disangka ramai, namun tidak menyalahkan sesiapa kerana faham mungkin penganjur mengalami masalah untuk menghubunginya.

"Bermula dari 1995 hingga 2002, saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Brunei Darussalam. Selain menyanyi, saya juga ke sana atas urusan perniagaan. Apabila lama di sana, saya terpaksa menukar nombor telefon.

"Ramai yang mahu menghubungi, tetapi gagal. Mungkin dari situ timbul andaian saya sudah tidak mahu menyanyi lagi. Saya tidak pernah berhenti menyanyi, malah tawaran untuk menjayakan persembahan masih lagi ada.

"Seperti acara ini, penganjur terpaksa meminta bantuan pelbagai pihak untuk mencari saya," katanya yang ditemui pada majlis sambutan hari raya artis era 1980-an di Putrajaya, baru-baru ini.

Pernah dikenali dengan lagu Semuanya Sudah Terlambat dan Janganlah Menghancurkan, Shidee berkata, dia masih belum berhasrat untuk merakamkan lagu baharu. Bukan tidak berminat, tetapi banyak perkara perlu dititikberatkan sebelum merakamkan karya baharu.

"Bukan senang untuk mencari lagu yang sesuai dengan karakter saya. Lazimnya, komposer akan menghasilkan lagu mengikut cita rasa mereka. Perkara itu secara tidak langsung menyukarkan penyanyi, terutama dari segi penghayatan.

"Saya lebih selesa jika komposer tahu karakter seseorang penyanyi. Ketika ini, biarlah saya terus mendendangkan lagu lama kerana ia masih popular dan sering menjadi pilihan ramai," kata anak didik

Datuk Seri Dr Ahmad Nawab itu.

Pernah menghasilkan album, Jamilah yang memuatkan lagu ciptaannya, sedekad lalu, Shidee berkata, produksi itu terperap lama kerana berdepan masalah dari segi pengedaran.

"Tidak mahu menanggung rugi, saya menjual juga album berkenaan ketika saya mengadakan persembahan. Alhamdulillah, laku 10,000 salinan. Saya puas hati kerana usaha dan penat lelah saya terbayar juga," kata bapa kepada dua cahaya mata perempuan ini.

18 dibaca
Berita Harian X