Jumaat, 6 Julai 2018 | 4:59pm
PENYANYI, Nabila Razali pada majlis Pertunjukkan Fesyen Koleksi Raya Primavalet di Hotel Majestic. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Saya hanya guna gimik putus cinta - Nabila Razali

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali, turut terkena tempias kontroversi melanda Haqiem Rusli apabila segelintir peminat menyamakan gimik dilakukannya ketika mempromosikan video muzik Pematah Hati, akhir tahun lalu, dengan pendekatan digunakan bintang remaja lelaki terbabit.

Begitupun, Nabila menolak dakwaan berkenaan dengan menegaskan, dia hanya menggunakan elemen ringan iaitu mengenai putus cinta, bukannya isu serius yang mampu mencetuskan kebimbangan ramai.

"Sebelum tampil bersama idea putus cinta itu, saya dan pihak pengurusan sudah mempertimbangkan pelbagai perkara. Lagi pun, idea dan subjek yang saya gunakan adalah berbeza.

"Saya sendiri takkan sesekali menjadikan isu sakit, mati dan perkara serius lain sebagai pelaris atau bahan promosi produk," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran musim kedua Toyota Gazoo Racing, di sini.

Terdahulu, kontroversi membabitkan Haqiem tercetus selepas dia mendakwa mengalami kemurungan, baru-baru ini, hingga membuatkannya mengambil keputusan meninggalkan dunia seni.

Gara-gara pengakuan mengejutkan itu, ramai dalam kalangan rakan seperjuangan, termasuk penyanyi lebih berpengalaman, memberikan kata-kata semangat untuknya.

Namun, rata-rata pemerhati dunia seni melihat ia sebagai gimik selepas penyanyi berusia 20 tahun itu membatalkan hasrat berkenaan sebelum mengumumkan bakal tampil bersama single baharu berjudul Selamat Tinggal Sayang.

Bagi meredakan kecaman netizen, Haqiem bersama wakil syarikat rakamannya tampil dalam sebuah sidang media khas, malam tadi, bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Sementara itu, Nabila turut meminta peminat tidak terus menghentam, sebaliknya melihat semula video muzik lagu popularnya yang diterbitkan sekitar November 2017.

Sehingga kini, klip berkenaan sudah pun ditonton hampir 22 juta kali.

158 dibaca
Berita Harian X