Khamis, 28 Jun 2018 | 1:28pm
ELLA, Cromok, Prime Domestic dan Sil Khannaz hadir ke sidang media Bintang Lagenda Irama Rock & Metal II Bergema di Oasis Village Damansara. - Foto Rosela Ismail

'XPDC tarik diri, bukan disingkir'

KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert Metal Legend 2 Live In JB menafikan kumpulan XPDC digugurkan daripada acara itu dengan slot diganti kumpulan Sil Khannaz.

Wakil Syarikat Dream Stage, Azhar Mat Noh berkata, ketiadaan kumpulan yang terkenal dengan lagu C.I.N.T.A itu disebabkan mereka menarik diri, bukannya disingkir.

"Band itu (XPDC) sendiri yang mengumumkan di media sosial menjelaskan mereka menarik diri dan tidak terbabit dalam konsert ini.

"Kami akur dengan keputusan yang dibuat... Disebabkan itu, kami mencari pengganti yang sesuai," kepada BH Online.

Sebelum ini, XPDC diumumkan bakal menyertai kumpulan underground terkenal, Cromox pada Konsert Metal Legend 2 Live In JB di Stadium Perbandaran Pasir Gudang (PPG), Johor pada 8 September depan.

Bagaimanapun, dengan penjelasan dibuat, XPDC disahkan tidak terbabit dalam konsert berkenaan.

Sehari sebelum itu, di lokasi sama, bintang rock, Ella dan Prime Domestic akan menghiburkan peminat pada Konsert Rockstar.

Azhar berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima maklum balas negatif mengenai ketiadaan XPDC dalam konsert itu.

"Rata-rata mereka bersetuju dengan pemilihan Sil Khannaz yang dianggap tepat dengan konsep muzik metal," katanya.

Pembelian tiket dan maklumat Konsert Metal Legend 2 Live In JB boleh dibuat dengan melayari www.ilassotickets.com.

Berita Harian X