Selasa, 26 Jun 2018 | 11:45am
KEAKRABAN Memey dan Abby beri inspirasi kepada mereka yang melalui pengalaman serupa. - Foto Instagram Abby Abadi

Hubungan baik Memey, Abby jadi contoh

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza, 30, bersyukur silaturahim yang terjalin dengan bekas isteri suaminya, Abby Abadi memberi inspirasi dan menjadi contoh kepada mereka yang melalui pengalaman serupa.

Isteri kepada Norman Hakim itu berkata, dia gembira perkongsian positif mengenai hubungan baiknya dengan Abby di laman sosial, Instagram diterima baik ramai, malah ramai yang mencontohi cara mereka

menjaga silaturahim.

Memey berkata, hubungan akrab mereka semakin kukuh apabila sepakat menjadikan petang 1 Syawal sebagai rutin untuk berkumpul bersama-sama meraikan Aidilfitri.

"Sejak beberapa tahun lalu, selepas bersama mentua di Kuantan, Pahang pada pagi raya, kami kembali ke ibu kota untuk sambung beraya dengan keluarga kak Abby.

"Hanya selepas itu, baru saya dan Norman pulang ke rumah keluarga saya di Felda Tenggaroh, Johor, manakala anak pula mengikut kak Abby pulang beraya di Kelantan.

"Lebih mengujakan apabila kami bersama-sama membuat persediaan kelengkapan raya untuk mereka. Alhamdulillah, cara kami itu memberi inspirasi kepada mereka yang turut melalui pengalaman serupa," katanya.

Abby mendirikan rumah tangga dengan Norman pada 2002 , tetapi berpisah pada 2008. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Bekas anggota kumpulan Elite itu seterusnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga. Abby kemudiannya berkahwin dengan Muhammad Faizal pada 2015.

Manakala Memey pula bertemu jodoh dengan Norman pada 24 September 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Darwishz Hakim, 5, serta Muhammad Dirkhriz Hakim, 3.

Memey yang sedang hamil lapan bulan berkata, dia juga tidak sabar menanti kelahiran bayi perempuan iaitu anak ketiga hasil perkahwinannya dengan Norman.

Sudah mempunyai nama untuk diberikan kepada bayi yang bakal dilahirkan bulan depan, Memey bersyukur tidak berdepan alahan teruk sepanjang kehamilannya.

"Alhamdulillah, saya tidak berdepan alahan teruk berbanding dua kehamilan sebelum ini. Saya berdoa semua urusan melahirkan nanti dipermudahkan dan bayi juga sihat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Memey berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat panjang daripada aktiviti lakonan bagi memberi fokus kepada keluarganya. Kali terakhir Memey berlakon, dua tahun lalu.

135 dibaca
Berita Harian X