Jumaat, 15 Jun 2018 | 11:56am
PELAKON, Nelydia Senrose. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Nelydia Senrose kahwin tahun ini?

KUALA LUMPUR: Mungkinkah Aidilfitri kali ini menjadi yang terakhir diraikan Nelydia Senrose sebagai gadis single?

Khabarnya, hari bahagia Nelydia bersama jejaka dikenali sebagai Hafiz, dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Gosip kononnya kekosongan hati Nelydia sudah diisi, tidak disangkal pelakon jelita itu.

"Bila (tarikh nikah), saya tak berani cakap. Masih dalam peringkat merancang.

"Biarlah betul-betul ada kata putus, pasti saya beritahu," katanya kepada BH Online.

Ditanya apa yang bermain dalam fikiran saat menghampiri detik menamatkan zaman solo, adik kepada Uqasha Senrose itu tidak dapat meluahkan apa yang dirasakan sekarang.

"Saya tak rasa apa-apa kalau ada yang menganggap ini tahun terakhir saya beraya atas status solo.

"Namun, adalah sedikit gementar... Bagi saya, itu perkara biasa," katanya.

Nelydia mengaku rapat dengan anggota keluarganya.

"Saya berorientasikan keluarga... Saya selesa menikmati momen bersama keluarga termasuk pada hari raya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, tidak ada apa yang berubah biarpun dia sudah berumah tangga kelak.

"Selepas berkahwin, saya masih sama biarpun ketika itu sudah ada keluarga sebelah bakal suami," katanya yang sedang melunaskan penggambaran drama 100 episod, Cinta Tiada Ganti.

Mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Nelydia memilih pendekatan bersederhana.

"Bezanya, tahun ini, saya sudah ada koleksi baju raya sendiri. Saya beri kepada ahli keluarga lain untuk dipakai. Rona tahun ini kuning," katanya yang menyambut Syawal di Kelantan.

806 dibaca
Berita Harian X