Isnin, 4 Jun 2018 | 3:20pm
ABAM patuh kepada pelan diet yang diamalkan untuk mendapatkan berat badan ideal. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Abam tegas kawal nafsu makan

KUALA LUMPUR: Makan minumnya semakin terjaga, terutama selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Disember lalu, namun Abam Bocey tetap patuh kepada pelan diet yang diamalkan sejak beberapa bulan lalu.

Mengakui sedang melalui fasa yang cukup membahagiakan, apatah lagi isterinya, Nurhidayah Mohd Ali mahir menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan, Abam bagaimanapun, tidak mahu terlalu mengikut nafsu.

"Saya tetap menjaga pemakanan sepanjang bulan puasa. Jika sebelum puasa, saya akan menjamah sajian berat ketika makan tengah hari, tetapi sepanjang Ramadan, saya gantikan hidangan menu yang sama untuk sahur.

"Saya amalkan memakan nasi atau ubi rebus bersama ikan salmon atau ayam bakar, sup, telur rebus serta sajian berasaskan sayur-sayuran. Saya jarang mengambil makanan berat ketika berbuka atau pada waktu makan malam.

"Kurma dan makanan nutrisi seperti serat soya akan menjadi pilihan ketika berbuka. Alhamdulillah, ia sudah cukup untuk memberikan saya tenaga.

"Saya masih mampu mengawal nafsu melihat orang lain menikmati hidangan menyelerakan. Jika terlalu teringin, saya akan jamah sedikit," katanya.

Pemenang Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2015 itu berkata, disebabkan isterinya bekerja, mereka selalunya akan berbuka puasa di luar. Hanya pada hujung minggu, mereka akan bersama keluarga berbuka di rumah.

Menyentuh persiapan Aidilfitri, Abam berkata, mereka mengutamakan kesederhanaan dan tidak terlalu beriya-iya, meskipun ini pengalaman pertama dia serta isterinya menyambut 1 Syawal bersama.

"Sudah tentu suasananya berbeza kali ini. Kami memilih untuk terlebih dulu beraya di rumah saya di Gombak, sebelum pulang ke kampung isteri di Sabak Bernam.

"Kami merancang untuk menyediakan rendang bersama-sama pada malam raya nanti. Boleh juga dibuat bekalan untuk ke rumah keluarga mentua masing-masing. Selebihnya kami hanya bersederhana kerana lebih mengutamakan kepada mengeratkan silaturahim," katanya.

63 dibaca
Berita Harian X