Rabu, 30 Mei 2018 | 2:23pm
PENYANYI dan komposer, Asfan Shah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cinta baharu Asfan Shah

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Asfan Shah, mula jatuh hati pada dunia lakonan selepas menjayakan telefilem, Formula Cinta, baru-baru ini.

Menurut Asfan atau nama penuhnya Norasfan Shah Shah Rudin, 32, dia ketagih untuk berlakon lagi selepas terbabit dalam telefilem berkenaan.

"Sebelum ini, memang berulang kali saya kata tidak mahu berlakon. Kalau berlakon pun, sekadar menerusi video muzik lagu nyanyian saya.

"Namun, selepas membintangi telefilem arahan Azmi Hatta, Formula Cinta, saya mula sukakan bidang lakonan. Apatah lagi, daripada pengarah sehinggalah ke barisan pelakonnya, semua memberikan pengalaman menyeronokkan. Biarpun ilmu lakonan saya paling cetek berbanding pelakon lain, semuanya saling memberikan sokongan.

"Bayangkan, penggambarannya mengambil masa dari pagi hingga tengah malam, tetapi saya tetap seronok di lokasi, Malah, kini saya mula berasa ketagih untuk beraksi lagi," katanya.

Formula Cinta yang turut dibintangi oleh Isa Khan dan Aprena Manrose akan menemui penonton saluran ntv7, Julai depan.

Kata penyanyi Sumpah Cintaku ini, jika dia menerima skrip dan watak yang menarik, tentu saja dirinya akan mempertimbangkan tawaran terbabit.

"Cuma, saya perlu lebih bijak dalam membahagikan masa antara kedua-dua bidang, nyanyian dan lakonan.

"Ketika ini, ada beberapa tawaran yang dihulurkan kepada saya, tetapi semuanya masih samar-samar lagi. Sekiranya ada watak dan skrip yang bagus, saya tidak menolak untuk mencuba lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asfan kini kembali ke studio untuk menyambung penghasilan lagu bagi beberapa artis naungan syarikatnya, Black Beast Entertainment.

Selepas musim Aidilfitri pula, pemenang kategori Lagu Tema / OST Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 ini mahu kembali aktif mempromosikan single terkininya, Fatamorgana Cinta, yang juga runut bunyi bagi drama menggunakan judul sama.

Berita Harian X