Isnin, 21 Mei 2018 | 4:13pm

Kaer elak terjebak cinta isteri orang

KETIKA teman sebaya sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, penyanyi Kaer Azami masih hidup membujang.

Bukan menolak jodoh atau tidak percaya kepada institusi perkahwinan, namun menurut jejaka ini dia lebih selesa dengan kehidupan solo.

Malah, Kaer mengaku tidak terburu-buru mencari teman hidup hanya kerana melihat orang lain sudah berkahwin atau melakukannya atas desakan keluarga.

"Saya masih single dan tidak mencari (pasangan hidup). Bagi saya soal jodoh, jika sudah sampai seru dan betul-betul yakin dia sangat sesuai dan ditakdirkan untuk saya, barulah saya terima.


PENYANYI, Kaer Azami. - Foto Rosela Ismail

"Jika tidak saya lebih selesa hidup bersendiri. Tak dinafikan mungkin wanita takut mendekati saya. Mungkin mereka lihat saya sangat serius dan berdedikasi dalam kerja.

"Walaupun usia saya mencecah 33 tahun, saya masih belum terdesak untuk segera mendirikan rumah tangga," katanya kepada BH Plus.

Melihat penampilan Kaer yang sentiasa bergaya serta statusnya sebagai ahli perniagaan dan pereka fesyen, tentu ramai yang menyangka dia mempunyai cita rasa yang sangat tinggi dalam memilih teman wanita.

Saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kedua ini menafikan perkara itu.

"Saya sebenarnya sangat ringkas. Mungkin mereka yang tak kenal akan menganggap saya seorang yang sombong, walhal biasa-biasa saja orangnya.

"Mereka melihat saya daripada sudut luaran. Kenali dulu siapa saya sebelum membuat penilaian," katanya.


KAER mengaku tidak terburu-buru mencari teman hidup . - Foto Rosela Ismail

Kaer atau nama penuhnya, Wan Mohammad Khair Wan Azami berkata, dia suka wanita yang cekap di dapur.

"Daripada segi kriteria wanita idaman, saya sebenarnya suka makan walaupun badan kurus. Kalau nak jadi isteri saya, kenalah pandai masak.

"Kalau dia boleh mengalahkan masakan ibu saya atau saya sendiri, barulah layak dijadikan isteri," katanya berseloroh.

Luahan teman menakutkan

Bercerita lanjut, Kaer tidak menolak pengalaman insan sekeliling, ada ketika menakutkan dirinya untuk berkahwin.

"Saya sering menjadi tempat kawan-kawan meluahkan perasaan dan masalah rumah tangga mereka. Ada yang tanpa segan silu memberitahu mereka terjerat dengan cinta isteri orang.

"Perkara seperti ini sangat menakutkan, namun pada masa sama ia membuatkan saya kena berhati-hati membuat pilihan supaya tidak menyesal di kemudian hari," katanya yang baru muncul dengan single duet bersama Amylea Azizan bertajuk Tak Pernah Hilang.

Melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Kolej LaSalle di Jakarta pada 2006, siapa sangka, penyanyi Izinku Pergi ini pernah mengusahakan dua label fesyen iaitu Quhji dan Kazami di Jakarta.


BEKAS peserta Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Kaer Azami. - Foto Rosela Ismail

Bagaimanapun perniagaan itu terpaksa dihentikan seketika berikutan isu pembiayaan.

"Buat masa ini saya sedang mencari pelabur yang berminat menjalankan bisnes ini bersama saya. Sebelum ini, saya hanya buat perniagaan secara kecil-kecilan. Impian saya adalah untuk memperbesarkan lagi perniagaan fesyen ini.

"Kalau boleh saya nak buat baju untuk semua saiz. Daripada yang kecil hinggalah berbadan besar kerana semua orang suka bergaya sekarang ini. Kalau ada pelabur yang berminat, bolehlah hubungi saya," katanya.

Pertaruh single Berdua

Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini akan muncul dengan single solo berjudul Berdua.

"Saya akan masuk studio tidak lama lagi. Karya ini adalah hasil ciptaan saya sepenuhnya.

"Lagu ini berkisar perasaan cinta yang tidak dapat diluahkan walaupun sering bersama," katanya.

Menjelaskannya lagi, Kaer berkata cerita dalam lagu itu bukanlah kisah dirinya, sebaliknya lebih kepada kisah hidup teman-teman dan sangat relevan dengan masyarakat hari ini.

Info Kaer Azami

  • Nama penuh: Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah

  • Tarikh lahir: 30 Ogos 1985

  • Umur: 32 tahun

  • Kerjaya : Penyanyi, ahli perniagaan, arkitek dan pereka fesyen

  • Lagu: Izinku Pergi, Menjelma dan Andai
Berita Harian X