Ahad, 20 Mei 2018 | 9:55am
PELAKON, Noorkhiriah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jangan buat keputusan ketika marah - Noorkhiriah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Noorkhiriah, mengaku hatinya berbelah bahagi selepas membuat keputusan untuk berhenti daripada bidang lakonan.

Katanya, selepas lebih dua dekad menjadi anak seni, sudah pasti kerinduan untuk beraksi di depan kamera bersarang dalam diri, membuatkannya kembali menghiburkan peminat dengan bakat anugerah Tuhan.

"Terus-terang, pada mulanya memang saya memutuskan untuk berhenti berlakon. Namun, biasalah, selepas agak lama berada dalam industri ini, hati saya jadi tidak ketentuan.

"Ia juga adalah kesilapan diri sendiri. Janganlah kita membuat keputusan untuk berhenti dalam keadaan emosi yang tidak stabil atau marah. Inilah jadinya.

"Memang ada yang mengecam apabila saya kembali berlakon. Tetapi, tidak mengapalah... Saya kena tebalkan muka. Mulut manusia memang tidak boleh ditutup," katanya.

Pelakon dengan imej bertudung ini pernah menyatakan keinginannya untuk bersara dari dunia seni pada 2012, namun aktif semula tidak lama kemudian. Dua tahun lalu, dia sekali lagi membuat kenyataan serupa.

Difahamkan, dirinya yang seakan-akan kecewa dengan permainan industri hiburan, lalu dengan pantas membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada bidang berkenaan.

Begitupun, Noorkhiriah kembali mewarnai persada seni apabila menerima undangan mengacarakan program program masakan, Kecoh Dapur musim kedua, di sisi teman baik, Ieda Moin.

Kini, lakonannya dapat disaksikan menerusi drama Nur, yang menemui penonton slot Samarinda, TV3. Karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut membariskan pelakon seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani, Raja Afiq dan Riena Diana.

Akui Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 41, dirinya tidak mampu menepis rasa rindu untuk kembali beraksi di pentas lakonan saat membuat keputusan bersara.

"Bohonglah kalau saya kata tidak rindukan lakonan, serta bertemu rakan di set penggambaran.

"Alhamdulillah, tawaran mengacara Kecoh Dapur menjadi pembuka rezeki buat saya. Dari situ, saya dapat pula tawaran berlakon drama, Sejadah Untuk Dia dan Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung. Paling mengujakan apabila saya mendapat tawaran daripada Shahrulezad untuk membintangi drama Nur, sekitar Disember lalu.

"Saya tidak mampu untuk menolak tawaran itu kerana memang saya sukakan hasil kerjanya. Saya pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2010 menerusi naskhah arahannya, Antara Garisan. Jadi, sayang sangat rasanya kalau hendak dilepaskan tawaran berkenaan," katanya.

Bercerita mengenai drama terbabit, secara peribadi Noorkhiriah begitu menyenangi karakter Aisyah yang dibawanya.

"Saya langsung tidak menyangka watak Aisyah akan dikembangkan menjadi lebih menarik. Konfliknya pula akan menjadi lebih besar apabila Nor (Amyra) berjumpa Adam (Syafiq). Saya rasa watak ini sangat bertenaga. Saya sendiri cukup selesa dengan cara kerja pengarah, kru dan pelakonnya," kata Noorkhiriah.

Berita Harian X