Sabtu, 19 Mei 2018 | 3:40pm
PENYANYI, Shiha Zikir, pada sesi rakaman Muzik-Muzik Raya 2018 di JW Marriott Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Shiha guna khidmat pengawal peribadi di Jakarta

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir, mengaku pernah mendapatkan khidmat pengawal peribadi setiap kali menjejakkan kaki ke Indonesia, terutama ketika terbabit dalam pertandingan D'Academy Asia di Jakarta, tiga tahun lalu.

Katanya, perkhidmatan mereka diperlukan bagi mengawal suasana dan keselamatan dirinya yang sering dikerumuni peminat.

Kongsi penyanyi ini, pada mulanya beliau mengalami kejutan budaya apabila tidak pernah dikawal ketat ketika mengadakan persembahan.

"Saya pernah dikawal oleh 12 orang pengawal peribadi ketika dibawa ke sebuah lokasi bagi menjayakan persembahan. Malah, untuk ke lokasi terbabit pun kami perlu menaiki kereta polis.

"Sudah tentu saya mengalami sedikit kejutan budaya sebab tidak pernah dikawal sedemikian rupa. Apabila berada di sana (Indonesia), peminat datang beramai-ramai sambil menjerit nama saya, malah ada yang menangis dan memeluk saya.

"Ada juga yang sanggup tidur dan menunggu di lapangan terbang, atau tunggu beramai-ramai di sana semata-mata mahu berjumpa dan memberi hadiah kepada saya," katanya kepada BH Online.

Shiha berkata demikian ketika ditanya mengenai gosip mengatakan beliau terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi kerana sering dikerumuni peminat setiap kali berada di negara seberang.

Bagaimanapun artis yang kini popular dengan lagu Jagakan Dia itu berkata, situasi sebegitu hanyalah bersifat sementara dan keadaan kembali terkawal beberapa bulan selepas program berkenaan tamat.

Shiha turut menjelaskan, sebenarnya beliau kurang selesa untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi kerana risau dengan tanggapan sesetengah pihak yang mungkin berasakan dirinya berlagak 'diva'.

"Sekarang, saya tidak memerlukan khidmat pengawal peribadi pada setiap masa, sebaliknya untuk keadaan tertentu saja," katanya.

Penyanyi yang pernah menyertai program Mentor ini juga berkata, berikutan kesesakan lalu lintas di Jakarta, ada ketikanya pihak penganjur menyediakan pasukan polis pengiring bagi memudahkan pergerakan.

"Ada masanya pula saya menggunakan perkhidmatan Grab saja. Lagipun, saya kurang gemar apabila berada dalam keadaan sedemikian. Maklumlah, orang yang tidak memahami situasi itu akan mengatakan saya berlagak.

"Saya pula terpaksa berbuat begitu bagi menepati waktu. Tanpa bantuan pihak polis atau pengawal peribadi, susah untuk saya bergerak dengan pantas," ujarnya.

Apa pun kata Shiha, beliau bersyukur apabila diberikan perhatian oleh peminat muzik di negara berkenaan.

"Saya bersyukur apabila diberikan rezeki di negara jiran. Lagipun kita memang tahu, bukan mudah untuk menembusi pasaran sebelah sana.

"Saya beruntung kerana peminat di sana masih tegar menyokong saya. Walaupun pertandingan terbabit sudah lama tamat, kumpulan WhatsApp peminat program itu masih wujud dan mereka sentiasa mengemaskini perkembangan karier seni saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shiha kini dalam perancangan untuk merakam lagu baharu bergenre dangdut bagi pasaran muzik Indonesia.

134 dibaca
Berita Harian X