Khamis, 10 Mei 2018 | 2:15pm
KILAFAIRY dan Izara Aishah. - Foto NSTP

Kilafairy, Izara 'kamcing' sejak usia 9 tahun

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu, Kilafairy dan Izara Aishah yang dianggap 'BFF' atau teman rapat, saling mengenali sejak mereka berusia sembilan tahun.

Kilafairy memberitahu, ketika menuntut di sebuah sekolah rendah di USJ Subang, Petaling Jaya, dia dan Izara sudah berkawan.

"Kami berjumpa ketika di sekolah rendah tetapi hubungan terputus selepas Izara berpindah. Dipendekkan cerita, kira-kira empat tahun lalu kami bertemu semula apabila masing-masing sudah dewasa dan menceburi dunia seni.

"Sejak itu, kami jadi rapat hingga sekarang," katanya kepada BH Online.

Kilafairy mengaku kadangkala terfikir bagaimana dia dan Izara boleh menjadi BFF atau mengikut istilah sekarang, 'bestie'.

"Mungkin kami selesa kerana sudah kenal perangai masing-masing. Izara jujur dalam berkawan dan saya selesa di sampingnya.

"Benar Izara tampak lembut manakala saya berwajah garang. Namun, tahu tak, sebenarnya karektor kami berlawanan?

"Izara yang garang dan saya pula manja serta mengada-ngada. Jadi Izaralah yang doniman dan suka memanjakan saya," katanya.

Seperkara lagi, tambah Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil, dia dan sahabat baiknya itu suka bersenam di gimnasium.

"Kalau salah seorang daripada kami malas bersenam, sama ada saya atau dia akan mengirim foto untuk 'menunjuk-nunjuk' bentuk badan masing-masing. Sebenarnya, tujuan kami lebih kepada membakar semangat.

"Kalau ada masa, kami akan bersenam berdua. Kalau masing-masing sibuk, kami bersenam sendirian," katanya.

Mengenai perkahwinan Izara dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adib Khalid, Kilafairy tumpang gembira.

"Akhirnya jodoh kuat menyatukan mereka. Saya juga mahu ke arah itu. Pastinya bila ada jodoh, saya akan berkahwin," katanya.

Sebelum ini, Izara dipelawa beraksi dalam video muzik single terbaru Kilafairy berjudul Put The Word In bersama DJ Aku Ash. Single itu turut menampilkan artis antarabangsa, Sean Kingston.

Selain Izara, muzik video yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu turut dijayakan Joe Flizzow, Altimet dan Kaka Azraff.

Berita Harian X